Bayaran itu merujuk kepada caj berkaitan dengan pentadbiran, penyelenggaraan dan kos pembangunan sistem dalam talian AirAsia bagi memastikan tempahan selamat dan ia akan ditanggung oleh syarikat itu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"AirAsia adalah sinonim dengan tawaran perjalanan udara yang berpatutan dan kami berharap dengan pemansuhan ini kami dapat berpegang teguh kepada slogan 'Kini Sesiapa Pun Boleh Terbang.'

"Kami melihat ini sebagai relevan terutamanya dengan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang tinggi di klia2. Kami juga mahu mengurangkan kos perjalanan supaya tidak menyusahkan pelanggan dan percaya inisiatif ini dapat membantu mereka," kata Presiden (Penerbangan) AirAsia Group, Bo Lingam.

AirAsia juga akan memansuhkan bayaran pemprosesan di Thailand, Indonesia dan Filipina mulai 31 Disember 2019.

Menurutnya, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 tahun depan, syarikat penerbangan itu juga berharap usaha itu dapat menggalakkan lebih ramai yang dapat melakukan perjalanan ke dan dalam Malaysia.

"Kami berharap untuk melakar kejayaan dan ini sememangnya baik untuk industri pelancongan serta ekonomi Malaysia. Malah, ini turut menjadi salah satu cara di pihak kami untuk menyumbang kepada negara," katanya. - BERNAMA