STMY hari ini bekerjasama dengan EverEdge Global, New Zealand menganjurkan sesi dialog memberi fokus kepada topik “Mengenali Nilai IA – Memacu Kejayaan, Kegagalan dan Nilai Lebih Tinggi bagi memberi pendedahan mengenai aset berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Naser Jaafar berkata, IA adalah satu bentuk aset kebiasaannya tidak tercatat di dalam dokumen kunci kira-kira dan kurang dimanfaatkan sepenuhnya serta dinilai dengan rendah, tetapi pada hakikatnya menjadi asas kepada lebih daripada 87 peratus nilai syarikat.

Katanya, kerjasama itu mencerminkan pengalaman AIM selama sedekad dalam mencetuskan inovasi yang telah menunjukkan bahawa sumber penciptaan nilai semakin kuat pergantungannya kepada IA terutama melibatkan Harta Intelek (IP).

 

“Kita perlu mewujudkan kesedaran dan kefahaman tentang IP sebagai elemen penting dalam IA serta kesannya kepada syarikat di Malaysia. IP masih lagi dilihat dari sudut perundangan, dengan penekanan lebih kepada hal berkaitan hak milik dan perlindungan, tanpa menilai potensi ekonominya melalui pengkomersialan.

“Perubahan dalam persekitaran ekonomi global telah mempengaruhi perkembangan model perniagaan dan IP merupakan elemen terpenting dalam mencipta nilai dan potensi pertumbuhan,” katanya ketika berucap sempena sesi dialog Aset Tidak Ketara Menentukan Daya Saing Syarikat di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE