Boleh dikatakan hampir kesemua ahli keluarganya menentang hasrat beliau berniaga di pasar malam kecuali arwah ayahnya yang banyak memberi motivasi untuk berjaya dalam perniagaan.

“Saya berpegang kepada nasihat ayah kalau mahu me­lakukan sesuatu kita kena ­usaha, kena fokus baru kejayaan akan datang. Saya berhenti kerja pada 2005 sebagai kakitangan di sebuah bank untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan yang dibina.

“Saya buat semua ini kerana mahu menunjukkan sesuatu kepada keluarga yang berniaga juga boleh memberi pendapatan lumayan berbanding makan gaji. Akhirnya pada 2009 mereka membuka mata dan berbangga dengan kejayaan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menceritakan penglibatan awal dalam perniagaan ais kisar pada 2004, ketika itu, beliau menyedari kerja makan gaji tidak cukup untuk menyara keluarga memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat di kawasan bandar.

“Semasa bekerja di sebuah bank sekitar 2000, gaji saya kurang daripada RM2,000 sebulan. Jumlah itu tidak cukup menampung keluarga tambahan pula tinggal di Kuala Lumpur. Jadi, saya perlu lakukan sesuatu untuk mencari pendapatan sampingan kerana sukar buat kerja lebih masa.

“Setelah berfikir panjang, saya cuba nasib dengan menjual ais kisar di pasar malam Taman Melawati dengan bermodalkan RM3,000. Waktu itu, ais kisar masih lagi baharu dan belum dikenali seperti masa sekarang,” katanya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Pada ­peringkat awal, akui­nya, sedikit sukar mendapatkan tapak perniagaan meman­dangkan kekangan daripada para peniaga sedia ada yang bimbang kepada per­saingan. Setelah lama ber­usaha, beliau akhirnya dapat menyewa tapak di pasar malam tersebut dan berniaga tiga hari seminggu.

Setelah menerima reaksi positif daripada para pelanggan, beliau memutuskan untuk menjenamakan perniagaannya sebagai UK Ice Blendz. UK bermaksud ‘Ulu Klang’ sebagai simbolik tempat beliau mula berniaga atau ‘Untuk Keluarga’.

Pendapatan yang diperoleh dengan berniaga merekodkan peningkatan 10 kali ganda berbanding kerja makan gaji. Ke­adaan itu mendorong beliau berhenti kerja dan menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan.

“Bilangan pelanggan juga semakin bertambah dan ada di antara mereka memberi cadangan dan pertanyaan bagaimana mengembangkan atau menjalankan perniagaan ini. Idea-idea yang dikemukakan diteliti sebelum memutuskan untuk mengguna pakai konsep rakan niaga memandangkan saya adalah pe­neraju perniagaan ini,” ujarnya.

UK Ice Blendz semakin berjaya dan beliau mengorak langkah dengan membuka kilang pemprosesan serbuk minuman ais kisar di Wangsa Maju dan ­pusat latihan usahawan menggunakan jenamanya bermodalkan RM100,000.

“Kini saya mempunyai 44 perasa serbuk. Usaha saya ini membuka mata pelbagai agensi sama ada kerajaan dan swasta se­perti Tekun Nasional, Agro Bank, Baitulmal dan Perbadanan Nasional Berhad dalam membantu masyarakat menjadi usahawan.

“Kami menawarkan tiga pakej berpatutan kepada pihak yang ingin menjadi rakan niaga untuk membuka perniagaan UK Ice Blendz. Niat saya mahu membantu masyarakat ter­utama bumiputera membuka perniagaan de­ngan modal serendah RM999 terma­suk latihan perniagaan ­secara percuma,” jelasnya.

Pakej paling laris adalah jenis gerai mudah lipat yang berharga RM5,499. Selain itu, terdapat juga pakej motosikal roda tiga yang berharga RM10,999 dan trak makanan RM100,999. Rakan niaga yang menggunakan nama UK Ice Blendz harus menjalani latihan dan menggunakan serbuk minuman ­keluarannya bagi menjaga kualiti produk.

Menurut beliau, jika berniaga dengan fokus dan mempunyai strategi yang baik keuntungan boleh dinikmati dalam masa yang singkat. UK Ice Blendz kini mempunyai kira-kira 1,300 rakan niaga di seluruh negara dan me­nyasarkan peningkatan 700 rakan niaga pada tahun ini.

Tumpuan UK Ice Blendz tidak terbatas untuk pasaran tempatan kerana Ahmad Muzakkir sedang mengintai peluang untuk menembusi pasaran Mekah melalui rakan kongsi di Arab Saudi tidak lama lagi.