Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hoseok Kim berkata, membeli-belah dalam talian telah terbukti menjadi rahmat bagi usahawan wanita dan jumlah mereka semakin bertambah dalam industri e-dagang.

Katanya, kategori utama jumlah penjual wanita berdaftar ter­tinggi adalah segmen kesihatan dan kecantikan, dengan 30 peratus daripada mereka menjual kosmetik, wangian, makanan tambahan dan peralatan, serta barang-barang penjagaan kulit dan diri.

“Sementara itu, tujuh peratus daripada penjual wanita 11street meneroka kategori yang dikuasai lelaki termasuk elektronik rumah dan telefon bimbit, teknologi maklumat dan kamera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Platform berkenaan, pertama kali dilancarkan di Malaysia pada 2015, mempunyai visi untuk membantu penjual mencapai potensi sepenuh­nya terutamanya usahawan wa­nita menerusi program pemba­ngunan penjual dan 11street Aca­demy.

Kim berkata, secara purata peniaga 11street telah menyaksikan peningkatan pendapatan jualan sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus dalam tempoh enam bulan selepas mengikuti kursus di 11street Academy, platform persijilan e-dagang yang pertama diperakui negara.

“Ramai usahawan wanita telah mengatasi penanda aras purata, malah ada yang telah dapat menggandakan atau tiga kali ganda jualan mereka,” katanya. Data-data berkenaan telah diumumkan 11street sempena Hari Wanita Antarabangsa semalam.

Portal beli-belah 11street, ditubuhkan di Korea Selatan pada 2008, dan kini me­rupakan antara penyedia pasaran e-dagang global utama dengan 400,000 penjual kepada lebih 30 juta pengguna di seluruh dunia.

Portal itu juga berada di Turki dan Thailand, masing-masing dikenali sebagai 11 dan 11street.