Cepat = Pelaburan

Sesiapa juga yang mahukan jualan datang dengan cepat dan pantas, pelaburan adalah perlu. Lebih cepat, lebih besar pelaburan perlu disediakan. Sebaliknya, sekiranya anda tidak berada dalam keadaan tergesa-gesa maka secara automatiknya pelaburan kewangan tidak perlu tinggi.

Namun, perlu diingat, setiap strategi pemasaran yang dijalankan tidak semestinya akan mendatangkan hasil memuaskan. Kebanyakannya masih perlu mengambil masa juga.

Bagaimana hendak melabur apabila dalam keadaan ter­desak? Biasanya ketika dalam situasi tergesa-gesa seperti yang anda hadapi sekarang, keadaan kewangan syarikat anda agak runcing. Setiap ringgit yang ada di dalam simpanan perlu dipertahankan, kecuali dalam ke­adaan tertentu yang memaksa anda berbelanja tetapi dengan berhati-hati.

Sabar. Di bawah, saya sediakan beberapa taktik pemasaran percuma (atau termurah) yang anda boleh gunakan untuk dapatkan jualan pantas.

1 Kuatkan profil anda 
di semua media sosial

Ini perkara paling utama yang perlu anda lakukan. Mengapa? Kepercayaan pengguna internet kepada anda bakal bermula di sini. Ia perlu dilengkapkan de­ngan seberapa terperinci yang boleh. Pastikan mereka faham siapa anda, apa yang anda jual, adakah produk anda mampu membantu mereka menyelesaikan masalah tertentu, mengapa mereka perlu membeli daripada anda dan bagaimana mereka menghubungi anda sekiranya berminat untuk membeli atau membuat pertanyaan? ­Kre­dibiliti anda akan dirujuk di sini.

2 Minta bantuan untuk Like laman perniagaan anda

Ini sangat berguna di Facebook Page, pastikan kesemua saudara mara, rakan sepejabat, rakan sebilik ketika bujang dahulu, kawan-kawan yang sama sekolah menengah, bekas ­teman wanita atau lelaki dan sesiapa sahaja yang mengenali diri anda untuk menjemput rakan-rakan Facebook mereka untuk Like Facebook Page anda. Jangan lupa juga untuk follow Instagram, LinkedIn dan Twitter anda juga.

3 Guna ejen

Jangan terlalu mengharapkan media sosial, dapatkan ejen yang mampu menjual untuk komisen. Ini juga sangat-sangat membantu.

4 Muat naik status berkali-kali sehari

Sejak penghujung 2018, tidak ramai lagi yang ingin menekan butang Like, berkongsi atau meninggalkan komen mereka pada status yang anda muat naik itu. Mereka lebih gemar membaca secara diam-diam dan terus ke status berikutnya. Jadi, anda yang memuat naik status tadi tidak pasti sama ada ia dibaca atau dilihat oleh para pengikut atau tidak. Bagi memastikan yang mereka betul-betul melihat apa yang anda sajikan, cara terbaik ialah dengan memuat naik sekerap mungkin status dalam masa ­sehari. Mungkin lima hingga tujuh status sehari adalah satu permulaan yang baik. Status yang dimuat naik itu tidak semestinya semua status yang baru ditulis. Anda boleh juga kitar semula status-status yang pernah dimuat naik semalam, minggu lalu dan juga yang lama.

5 Gunakan iklan

Kalau boleh sediakan sedikit bajet kecil untuk anda percepatkan kadar tularan di media sosial tidak kira sama ada di Facebook, LinkedIn, Twitter mahupun ­Instagram. Biasanya kadar yang dikenakan di Facebook dan ­Instagram tidaklah mahal, hanya RM4 sehari minimum. Itupun ia mampu mencecah beberapa ribu orang dalam sehari. Sebaik-­baiknya, ini dilakukan setelah anda telah selesai menjemput rakan-rakan dan saudara mara anda dahulu seperti yang dicadangkan di atas. Cuba gunakan parameter friends and their friends dan masukkan lokasi yang sesuai di iklan tersebut. Kaedah ini seolah-olah anda mempelawa rakan-rakan kepada rakan anda untuk turut sama menjadi pengikut ­laman anda di media sosial.

6 Gambar yang asli dan berkualiti

Ini sangat penting. Hindarkan diri daripada ­mengunakan gambar-gambar stok yang terdapat di Google dan internet. Kebanyakannya adalah gambar mat saleh yang sedikit pun tidak melambangkan jenama dan produk anda yang wujud di Malaysia. Jadi gunakan gambar sendiri, ini yang terbaik. De­ngan gambar yang unik, asli dan berkualiti, ia sangat membantu menarik perhatian bakal pelanggan yang ada di luar sana untuk melihat apa yang anda muat naik itu.