Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018, sebahagian besar perniagaan berdaftar adalah dalam sektor perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal yang merangkumi 34.2 peratus. Ini diikuti oleh perniagaan dalam sektor pembinaan (17.7 peratus) dan pembuatan (12.4 peratus).

Jelas laporan itu, sejak pelaksanaan GST pada 1 April 2015, terdapat beberapa perubahan dasar kepada struktur dan layanan untuk meningkatkan kecekapan sistem tersebut.

“Pengenalan GST pada kadar enam peratus telah menambah baik struktur cukai kepenggunaan untuk menjadikannya lebih berkesan dan mesra perniagaan.

“GST terbukti menjadi sistem kutipan cukai yang berkesan, efisien dan dapat memperluas asas cukai,” jelas laporan itu.

Menurut laporan itu, pada 2016, kutipan GST berjumlah RM41.2 bilion dan pelaksanaannya merupakan satu inisiatif pembaharuan fiskal untuk meningkatkan kecekapan sistem cukai dan meluaskan asas cukai negara.

“Pelaksanaannya bertujuan mempelbagai sumber pendapatan kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan demi pembangunan negara.

“Pada masa yang sama, kerajaan akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk terus meningkatkan kecekapan sistem dan pematuhan GST,” jelasnya.

Tambahnya, sejumlah 14,578 kesalahan pelarian cukai telah dikenal pasti bagi tempoh antara April 2015 hingga Julai lalu, dengan 2,097 kes telah didakwa dan 928 kes telah dikenakan denda.

“Antara langkah untuk meningkatkan pematuhan cukai, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sentiasa menjalankan audit berkala dan siasatan. Langkah lain untuk meningkatkan pematuhan dan mengoptimumkan sumber dalam mentadbir GST adalah pengenalan Sistem Maklumat Elektronik GST pada 1 Julai 2017,” jelas laporan itu.