Muhammad Ibrahim

Gabenornya, Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, bagaimanapun, tindakan yang diambil ke atas akaun tersebut adalah bergantung kepada siasatan yang dilakukan dan arahan mahkamah sama ada akan digantung atau dibekukan.

Katanya, jika sepanjang siasatan terhadap banyak perkara mencurigakan, akaun tersebut akan ditutup dan pengendali skim berkenaan perlu memulangkan semula duit kepada pemegang akaun berdasarkan kepada arahan mahkamah.

“Jika pemegang akaun berasa curiga terhadap pelaburan yang dibuat dan terdapat beberapa keraguan yang tidak menepati sistem perbankan, mereka digalakkan untuk datang terus ke BNM. Namun, dalam hal ini, secara dasarnya, institusi perbankan dan kewangan negara ini banyak bekerjasama dengan BNM untuk menangani isu ini.

“Malah, mereka juga telah meningkatkan kawal selia terhadap sebarang akaun yang mencurigakan ini dan Ketua Pegawai Eksekutif setiap institusi perbankan juga berikrar untuk mengetatkan langkah-langkah kawalan terhadap aktiviti berkenaan, jika perlu akaun itu akan ditutup,” katanya dalam sidang akhbar Prestasi Ekonomi pada Suku Pertama 2017 di sini hari ini.

Awal bulan ini, BNM menegaskan tidak teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap penganjur skim kewangan haram dan berikrar individu yang terlibat dalam aktiviti tersebut akan berdepan tindakan undang-undang.

Ini termasuk undang-undang di bawah BNM iaitu Kanun Keseksaan, Akta Skim Kepentingan 2016, Akta Skim Anti-Piramid 1993 dan Jualan Langsung serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

BNM turut mengulangi pendiriannya bahawa tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap pelabur yang mengambil bahagian dalam skim haram kerana bersubahat di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendapati kerugian melebihi RM98 juta membabitkan 324 kes penipuan pelaburan haram direkodkan setakat Januari hingga April tahun ini.

Menurut Muhammad, BNM dalam masa sama turut bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan di luar negara memandangkan terdapat sesetengah penganjur skim pelaburan tersebut menyasarkan penduduk luar yang tinggal di negara ini.