Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum berkata, pihaknya menjadi peneraju dalam memperkenalkan teknologi hibrid apabila membawa masuk model pertama iaitu Civic Hibrid.

Katanya, Honda Malaysia kemudiannya memperkenalkan Jazz Hibrid CKD di kilang Pegoh, Alor Gajah pada 2012 yang mana ia merupakan kenderaan hibrid pertama yang dipasang secara tempatan oleh pengeluar bukan ­nasional.

“Kejayaan ini menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga selepas Jepun dan Amerika Syarikat (AS) yang mengeluarkan kenderaan hibrid Honda.

“Selain itu, usaha ini selari dengan agenda kerajaan dalam mempromosikan teknologi hijau. Pasaran tempatan juga menunjukkan pe­nerimaan positif terhadap teknologi hibrid termaju dari Jepun,” katanya dalam ­kenyataan di sini hari ini.

Tambah Sarly Adle, tahun ini merupakan tahun ke-15 Honda memperkenalkan teknologi hibrid di Malaysia bermula dengan Bantuan Motor Bersepadu (IMA) hingga kepada Pemanduan Dual-Klac Pintar (i-DCD).

Menurutnya, Honda akan terus memberi tumpuan untuk memperkenalkan inovasi Teknologi Termaju Generasi Seterusnya dalam pasaran ­domestik.

“Malaysia menjadi negara tunggal di luar Jepun yang menerima kehadiran sistem Sport Hibrid i-DCD. Model hibrid kami memenuhi semua jenis keperluan dan gaya hidup pelanggan,” ujarnya.

“Kejayaan mencapai jualan model hibrid sebanyak 10,000 kenderaan merupakan suatu pencapaian yang besar yang mana kami bukan sahaja menawarkan teknologi Jepun malah menerapkan elemen keseronokan pemanduan. Pada masa sama kami turut mengekalkan harganya yang mampu milik,” ujarnya.

Sempena meraikan pencapaian jualan tersebut, Honda Malaysia menawarkan ganjaran eksklusif kepada pelanggan bertuah, Saddam Hassan Abdul Salim. Beliau menerima Pakej Perlindungan lengkap dan pakej Modulo sebagai tanda penghargaan.

HABIS...