Tiga model tersebut ialah Pulsar NS200, Pulsar RS200 dan V15 yang dihasilkan menerusi kerjasama dengan syarikat pengeluar motosikal dari India, Bajaj Auto Ltd. (BAL).

Menurut Ketua Pegawai Operasi Automotif, Kejuruteraan, Pembuatan dan Pengedaran DRB-Hicom, Datuk Abdul Harith Abdullah tiga model baharu itu akan meluaskan lagi rangkaian produk Modenas selaras dengan pertumbuhan pasaran dan industri motosikal di negara ini.

“Ini kerana model-model berkenaan telah terbukti diterima positif di 74 negara meliputi Amerika Latin, Timur Tengah dan Asia Selatan.

“Menerusi kerjasama dengan BAL ini, Modenas juga berupaya membangunkan teknologi produk pada masa depan,” katanya semasa majlis pelancaran ketiga-tiga model baharu motosikal itu di Pusat Konvesyen Setia Alam di sini hari ini.

Yang hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil dan Presiden Perniagaan Antarabangsa BAL, Rakesh Sharma.

Harga bagi model V15 ditawarkan sebanyak RM5,650 seunit manakala bagi model NS200 dan RS200 masing-masing sebanyak RM8,700 dan RM10,700. - UTUSAN ONLINE