Tetapi hanya dalam tempoh dua tahun, syarikat Go Auto Group of Companies yang merupakan pengedar tunggal Haval serta rangkaian kenderaan GWM di Malaysia dan ASEAN, telah mencatat pelbagai kejayaan dalam senyap.

Diasaskan oleh empat lelaki bumiputera berwawasan, syarikat tersebut yang menghasilkan kenderaan Haval secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang mereka di Gurun kini berterusan menggandakan usaha untuk menakluk pasaran serantau.

Terbaharu, pada 13 November lalu, syarikat tersebut memeterai memorandum persefahaman (MOU) bersama syarikat PT Makmur Andalan Indonesia bagi membawa masuk kenderaan jenama Haval dari model M4 dan H2 ke negara jiran tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Ahmad Azam Sulaiman, pemeteraian perjanjian itu mengukuhkan lagi kedudukan perniagaan syarikat tersebut di negara ASEAN selepas menembusi pasaran Kemboja, Thailand dan Brunei sejak tahun lalu.

“Bersandarkan sambutan awal yang diterima, kami yakin Indonesia mampu mencatatkan penjualan terbesar Haval di rantau ini. Walaupun promosi ini hanya dijalankan di Batam dan kawasan sekitarnya, kami sudah pun menerima tempahan sebanyak 150 unit yang akan mula diedarkan kepada pembeli selewat-lewatnya pada Januari depan.

“Untuk tahun pertama di Indonesia, jika dapat menjual 400 unit pun sudah memadai buat kami. Kami yakin sasaran itu dapat dicapai kerana promosi kenderaan ini akan terus diperluaskan ke daerah-daerah lain di Indonesia selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pada majlis itu, Ahmad Azam bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Urusan PT Makmur, Sudry Aliyanto yang turut membawa 120 bakal pemilik Haval dari Indonesia yang sudah pun membuat bayaran pendahuluan bagi melihat sendiri operasi kilang tersebut di negara ini.

Di Malaysia, setakat ini sebanyak 3,000 unit kenderaan jenama itu sudah berada di jalan raya. Namun apa yang lebih membanggakan, syarikat yang dianggap terlalu muda itu sudah pun mengeksport 1,500 unit kenderaan ke Kemboja, Thailand dan Brunei hanya dalam tempoh dua tahun.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya turut merancang untuk membawa kenderaan tersebut memasuki pasaran Filipina, Myanmar dan Vietnam pada tahun depan.

“Insya-Allah kami akan melakukannya. Haval ketika ini sudah muncul sebagai pesaing utama dalam pasaran di China dan telah memasuki pasaran Eropah serta Australia sekali gus membuktikan kualiti yang ada padanya.

“Semua orang tahu cukup sukar untuk melepasi pasaran di Australia, Eropah dan Indonesia. Dan apabila kami berjaya melakukannya, sudah tentu perkara tersebut memberi kesan positif terhadap kami untuk meluaskan lagi pasaran,” katanya.

Sementara itu Sudry memberitahu, pihaknya menyasarkan untuk menyaksikan Haval berada di jalan raya seluruh Indonesia bermula tahun depan.

“Para pembeli yang saya bawa ke kilang Go Auto ini tidak pernah melihat M4 dan H2 di depan mata. Kami juga belum sempat menerbitkan brosur menyebabkan mereka hanya mengenali Haval menerusi ‘Google’ dan ‘Youtube’ semata-mata.

“Tetapi bersandarkan reka bentuk menarik, kualiti, harga kompetitif serta jaminan yang mencecah sehingga lima tahun, seramai 150 orang sudah pun membayar wang tempahan untuk mendapatkan kereta itu secepat mungkin. Jadi saya yakin pasaran kereta ini di Indonesia akan meluas dengan pantas,” katanya