Bendahari Kehormat Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Nik Izani Nik Ibrahim berkata, kerajaan tidak boleh mengekang pasaran dan harus mewujudkan persekitaran yang sama rata bagi setiap pemain industri.

Katanya, kerajaan harus mengenakan percukaian yang lebih kompetitif kepada pemegang AP supaya kedudukan mereka dalam pasaran berada tahap yang lebih baik dan tidak terbeban.

Jelasnya, ini kerana pemegang AP mempunyai kekangang dari segi sumber dari luar negara dan berhadapan dengan kadar pertukaran mata wang asing apabila melakukan transaksi.

“Kebanyakan sumber kenderaan import kami adalah daripada Jepun dan United Kingdom. Jadi transaksi kami bergantung kepada pertukaran mata wang asing. Jika kadar pertukaran tengah naik masa transaksi itu maka kami akan menerima kesan.

“Berbeza dengan usahawan francais atau syarikat induk yang berada di Malaysia, mereka dapat membuat pertukaran harga sesama sendiri.

“Ini kerana kebanyakan syarikat induk sudah membuka cawangan mereka di sini dan jika berlaku kenaikan kadar pertukaran mata wang mereka dapat membuat perubahan sesama sendiri bila-bila masa,” katanya kepada Pekema Auto & Industri baru-baru ini.

Pekema telah banyak kali membangkitkan isu ketidaksamarataan antara pemegang AP dan syarikat francais berikutan pelbagai keistimewaan yang diterima pemain francais automotif sehingga menyukarkan syarikat pemegang AP untuk kekal kompetitif dalam pasaran.

Antara kelebihan yang dinikmati syarikat francais termasuklah daripada aspek duti import dan percukaian menyebabkan harga kenderaan baharu yang dijual hampir menyamai harga kenderaan terpakai.

Menurut Nik Izani, kesemua ahli Pekema dikenakan levi atau cukai AP sebanyak RM10,000 bagi setiap unit kenderaan import yang dibawa masuk ke Malaysia dan duti import sebanyak 30 peratus.

Pada 1 Januari lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan pengecualian duti import terhadap syarikat kenderaan import francais.

Oleh itu, beliau mengesa kerajaan untuk menyediakan persekitran yang sama rata dalam pasaran dari segi percukaian dan syarat-syarat untuk membawa masuk kenderaan import.

“Kalau macam dulu kita boleh bawa masuk model yang baharu dilancarkan, contohnya kalau sesebuah model tersebut dilancarkan di Jepun hari ini, kita boleh terus bawa masuk pada masa yang sama.

“Tapi kini kita tak boleh bawak masuk dan perlu tunggu sehingga setahun selepas sesebuah model itu dilancarkan. Jadi pasaran kami kini semakin mengecil,” ujarnya.