MOHD. NAZIM

Ketua Pegawai Ek­sekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Mela­yu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, ia juga menunjukkan fatwa dalam isu itu berkembang sesuai dengan peredaran zaman.

Beliau berkata, adalah tidak tepat apabila zakat per­tanian hanya di­kenakan terhadap pengeluar makanan ruji se­perti padi, sedangkan ada pengusaha tanaman lain meraih pendapatan lebih tinggi.

“Kalau di Perlis, ada pendapatan pengeluar harumanis lebih lumayan berbanding pengusaha sawah padi yang dikenakan zakat (sebelum fatwa).

“Maka sebab itu, kita merasakan perkara ini (mengenakan zakat) lebih adil untuk semua golongan petani dan oleh itu, MAIPs ingin berkongsi pandangan ini dengan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pentaksiran Zakat Tanaman Berdasarkan Kepada al-Quran dan As-Sunnah: Pengalaman MAIPs sempena Seminar Warisan Nabawi (Swan) 2018 di International University of Renewal (IUR), di sini baru-baru ini.

Seminar selama dua hari itu dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurutnya, setakat ini, hanya Perlis yang mengenakan zakat pertanian selain tanaman ruji seperti mana me­ngikut mazhab Ha­nafi.

Untuk rekod, selain harumanis, harga durian turut mencecah melebihi RM50 sekilogram dan berikutan itu, ramai pengusaha tanaman tersebut yang meraih pendapatan lumayan apabila menjelang musimnya.

Dalam pada itu, Mohd. Nazim memberitahu, pengurusan wakaf di Turki adalah antara yang terbaik di dunia dan sehubungan itu, MAIPs merancang untuk mempelajarinya pada masa depan.