Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa, Ngah Muhammad, 72, meninggal dunia di tempat kejadian setelah pergelangan tangan kanannya putus akibat gigitan haiwan itu.

Beruk berusia lima tahun itu yang diberi nama ‘John’ turut menyerang serta mencederakan anak lelaki mangsa, Mohd. Zakaria, 29, yang digigit pada belakang lehernya ketika bergelut untuk menyelamatkan bapanya.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, kejadian itu bermula apabila bapanya mengarahkan beruk jantan tersebut memetik kelapa di belakang rumah mereka.

Bagaimanapun jelasnya, dia mula mengesyakki sesuatu berlaku setelah suasana bertukar sepi tanpa bunyi suara bapanya serta kelapa jatuh sebelum dia segera ke lokasi yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

“Sebaik saja tiba di situ saya terkejut apabila ternampak ayah terbaring dengan berlumuran darah, dipercayai diserang beruk jantan peliharaan kami,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini petang ini.

Jelas Mohd. Zakaria, sewaktu dia cuba membantu ayahnya yang sudah tidak sedarkan diri, beruk terbabit yang pada waktu itu berada di batang pokok kelapa tiba-tiba bertindak menerkam lehernya dari belakang.

Katanya, meskipun kesakitan, dia menggagahkan diri bergelut dengan beruk itu sebelum menambat semula haiwan terbabit menggunakan tali.

“Tidak lama kemudian jiran saya, Mohd. Azman Mohd. Yusof, 36, datang tolong. Selepas itu kami hubungi pihak berkuasa sebelum anggota Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) datang menangkap beruk berkenaan tidak lama kemudian,” katanya.

Mohd. Zakaria berkata, bapanya itu mempunyai pengalaman menggunakan beruk untuk mengambil upah memetik buah kepala sejak 20 tahun lalu.

Katanya, ‘John’ dibela bapanya sejak kecil lagi dan pernah dilatih mengambil buah kelapa dari pokok di sebuah pusat latihan di Kampung Banggol Nyiur sewaktu berumur setahun.

“Sebelum ini, John pernah mengamuk ketika bertemu dengan seekor beruk betina liar pada akhir tahun lalu tetapi berjaya ditenangkan. Tapi kali ini saya pun tak pasti apa punca dia naik minyak,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE