WAHID RAZZALY.

Pelantikan bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTHM itu bagi tempoh tiga tahun hingga 2 Mac 2020 diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh setelah mendapat perkenan Canselor UTHM, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bahagian Perhubungan Awam UTHM memaklumkan, pelantikan Wahid sebagai Naib Canselor juga dilakukan selaras dengan Seksyen 12(1) Perlembagaan Universiti.

“Beliau menggantikan Naib Canselor sebelum ini, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin yang tamat tempoh pelantikannya pada 15 Oktober tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Wahid, 58, anak kelahiran Se­langor pernah memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Dekan Pusat Pembangunan Akademik dan Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional universiti berkenaan.

Beliau menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan Awam daripada University of Swansea, United Kingdom (UK) dan melanjutkan pengajian dalam Ikhtisas Pendidikan Diploma Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian Sarjana Kejuruteraan Lebuhraya dan Pengangkutan di UTM sebelum menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah dalam Pendidikan Kejuruteraan Jarak Jauh di The University of Manchester, UK.

“Beliau mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam pembe­lajaran dan pengajaran bidang kejuruteraan awam serta pendi­dikan teknik dan vokasional.

"Sebelum berkhidmat di UTHM, beliau bertugas di Politeknik Ungku Omar, Politeknik Port Dickson dan Bahagian Pe­ngurusan Politeknik dan Kolej Komuniti selama 17 tahun sebagai pensyarah dan Timbalan Pe­ngarah,” demikian menurut kenyataan tersebut.