Inisiatif tersebut merupakan kesinambungan program sebelum ini digerakkan bersama tokoh agama tempatan dimulakan dengan menampilkan pakar rujuk bidang al-Quran dari Mesir, Sheikh Dr. Ahmad Isa Al-Ma’sarawi dalam siri program selama tiga hari mulai 15 September lalu.

Pesuruhjaya Bahagian Dakwah JHEAT, Musameh Jusoh berkata, perkongsian ilmu dengan cendekiawan terkemuka itu dapat memberi lebih pendedahan tentang keistimewaan kitab suci umat Islam sebagai panduan dalam kehidupan.

“Kita mengatur tiga program wacana dengan Syeikh Dr. Ahmad Isa Al-Ma'sarawi di negeri ini baru-baru ini. Berdasarkan sambutan diterima, kita merasakan program ini cukup baik dan JHEAT berusaha untuk meneruskan program seumpama ini,” katanya selepas program itu di Auditorium JHEAT di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya JHEAT, Wan Ismail Sahaimi dan dihadiri kira-kira 300 peserta dalam kalangan huffaz serta qari dan qariah anak negeri.

Selain Auditorium JHEAT, wacana bersama Ahmad Isa turut dilakukan di Masjid Bukit Payung, Marang dan Masjid Abidin di sini.

Sementara itu, seorang peserta, Affizal Rulkhairil Wan Azuwadi, 23, berkata, walaupun singkat tetapi pengisian ilmu dalam program berkenaan cukup padat dan mencambahkan pengetahuannya yang merupakan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) tentang al-Quran.

“Syeikh Dr. Ahmad Isa Al-Ma’sarawi merupakan seorang pendakwah digelar muallim kerana benar-benar menguasai ilmu al-Quran. Beliau memberi kefahaman jelas walaupun kedatangannya singkat tetapi sa­ngat berkesan,” katanya.