Entah di mana silapnya, majo­riti penduduk Gelang Patah tidak memilih untuk mengenang jasa Abdul Ghani yang juga Menteri Besar Johor pada waktu itu, sebaliknya memilih Kit Siang yang merupakan calon nomad untuk menjadi wakil rakyat mereka.

Itu pilihan pengundi Gelang Patah, namun kesannya seper­ti sudah dijangka dan berlaku di beberapa kawasan parlimen yang pernah diwakili Kit Siang, bapa kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng itu terbukti tidak 'mampu' menjalankan tanggungjawabnya dengan baik kepada pengundi di situ.

Beliau didakwa menjadi wakil rakyat atas nama sahaja kerana mengabaikan tugasnya membantu menyelesaikan permasalahan rakyat, malah lebih menyedihkan apabila jarang balik untuk menjenguk kawasan yang dimenangi dan muncul apabila pilihan raya semakin hampir.

Apabila Kit Siang tidak mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat, maka BN sebagai sebuah parti yang sentiasa mengambil berat permasalahan dan kehendak rakyat tampil menghulurkan tangan untuk membantu.

Iskandar Puteri yang terletak di dalam wilayah Iskandar Malaysia dan bakal muncul sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa yang akan menyaingi bandar raya Johor Bahru, maka dengan kedudukannya itu, Iskandar Puteri pesat membangun dan mempunyai pelbagai kemudahan terbaik.

Kawasan parlimen itu seme­mang­nya hebat dibangunkan, tanyalah kepada sesiapa sahaja pasti tahu mengenai pembangunan di Iskandar Puteri, malah tidak perlu dipersoalkan lagi ke­ra­na itu adalah perancangan dan usaha dilaksanakan kerajaan BN.

Bandar Medini, Educity, Pe­labuhan Tanjung Pelepas (PTP), Taman Tema Legoland, Puteri Harbour, kawasan perindustrian yang dihuni pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa merupakan antara pembangunan di Iskandar Puteri, stadium baharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim juga sedang rancak dibangunkan di situ.

Menurut Pengerusi BN Parlimen Iskandar Puteri, Mohammad Khairi A. Malik, penduduk di Gelang Patah agak unik kerana terdiri daripada penduduk kampung tradisi yang bekerja sebagai nelayan dan petani dan warga bandar yang mendiami taman perumahan serta bekerja di kilang, berniaga dan sebagai usahawan.

“Jadi, penduduk di sini terdiri daripada pelbagai peringkat termasuklah ramai juga yang be­kerja di Singapura dan sebab itu kita perlukan wakil rakyat yang betul-betul memahami keadaan penduduk supaya mereka hidup selesa. Rakyat di Parlimen Iskandar Puteri ini bukan sahaja mementingkan pembangunan fizikal, malah turut memerlukan ‘sentuhan’ wakil rakyatnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Antara keluh-kesah yang dite­rima pihaknya, kos sara hidup yang meningkat seperti juga di tempat lain, namun BN merangka pelbagai program bagi menangani permasalahan itu dengan memberi penekanan terhadap konsep memasyarakatkan ilmu.