Memorandum tersebut ditandatangani oleh pihak MCCF yang diwakili pengerusinya, Halim Ishak  manakala PAR Johor pula diwakili pengerusinya S. Rajasegram disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali di Kluang, Johor.

Menerusi memorandum tersebut, sebarang isu yang melibatkan pendidikan, kebajikan, kesihatan, integriti penjawat awam, tuntutan insurans dan ekspoiltasi pekerja termasuk dalam kalangan warga asing di negara ini dapat diberikan pembelaan sewajarnya oleh kedua-dua pihak.

Ketika berucap pada majlis tersebut, Halim berkata, memorandum tersebut merupakan inisiatif dan komitmen kedua-dua pihak bagi menyalurkan aduan, pendapat serta memanjangkan kerjasama dengan pihak berkuasa agar jalan penyelesaian yang lebih komprehensif dapat dicapai.

“Rungutan, kegusaran dan keresahan warga tempatan terhadap kebanjiran warga asing serta permasalahan yang diketengahkan tidak lagi boleh diletakkan di atas tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata.

“Untuk itu MCCF telah menyediakan satu platform dan merangka satu sistem yang lebih efisien bagi mengumpul data dan memantau keberadaan warga asing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE