Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata, perjanjian tersebut melibatkan kerja-kerja penyelidikan dan­ pembangunan sistem yang ba­kal memberi manfaat kepada ma­syarakat.

Bagi tujuan tersebut, pihaknya menerima geran penyelidikan berjumlah RM100,000 daripada Yayasan IJN.

“Kerjasama yang telah bermula sejak 2013 ini menyaksikan pelbagai pencapaian dibuat Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular UTM-IJN.

“Dalam tempoh tiga tahun, sebanyak RM8.3 juta geran penyelidikan dari dalam dan luar negara telah diterima, termasuk menjana pendapatan hampir RM1 juta, 323 penerbitan jurnal saintifik, 36 harta intelek dan satu produk yang telah dikomersialkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoA di ruang legar Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan, UTM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM; Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof. Datuk Seri Dr. Mohd. Azhari Yakub.

Pada program itu, turut diadakan pelancaran Klinik Program Pemeriksaan Eksekutif dan penyampaian sumbangan mesin hemodialisis, sistem monitor pesakit, defibrillator dan ventilator.

Sementara itu, Mohd. Azhari memberitahu, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada bantuan diterima pihak Yayasan IJN daripada agensi swasta.

“Tujuannya untuk meningkatkan kemampuan IJN dalam menyelesaikan masalah berkaitan teknologi kesihatan dan merupakan kepakaran dimiliki UTM selaku universiti teknologi dan penyelidikan,” katanya.