Pengarah Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori Utem, Fazidah Ithnin berkata, tahun 2016 menyaksikan Utem menerima kunjungan daripada pelbagai pihak termasuk sekolah-sekolah, agensi-agensi kerajaan, universiti luar negara serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut beliau, keunikan Utem selaku universiti teknikal awam pertama di negara ini serta konsep pembelajaran berteraskan aplikasi dan amalan berteknologi tinggi merupakan penyebab utama mengapa universiti tersebut sentiasa menjadi perhatian dan tumpuan.

“Selain itu terdapat lawatan dan kunjungan yang dibuat oleh universiti luar negara bertujuan untuk menjalinkan hubungan kerjasama dua hala, selain berkongsi kepakaran dengan Utem dalam bidang penyelidikan dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, Utem bertuah kerana lokasi kedudukannya yang strategik dalam negeri Melaka menjadikan ia faktor pilihan sebagai destinasi lawatan.

“Maklum balas yang kami te­rima mendapati ada sekolah yang memilih Utem sebagai destinasi lawatan bukan sahaja kerana keunikan konsep pembelajaran dan kemudahan pembelajaran yang kondusif, malahan faktor negeri Melaka sebagai Bandar Raya Warisan Dunia UNSECO ini turut menarik perhatian mereka,” katanya.

Fazidah berkata, pihaknya bukan sahaja mempromosi program akademik yang terdapat di universiti itu malah turut mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan pendidikan.

Penganjuran pelbagai program seperti seminar, persidangan dan pertandingan juga secara tidak langsung menyumbang kepada kedatangan pelancong ke negeri ini, katanya.

Tambahnya, Utem akan terus menyokong dan memberikan kerjasama kepada kerajaan ne­geri dalam memperkasakan Melaka sebagai destinasi pelancongan seperti yang digariskan di bawah pelan Melaka Maju Fasa Kedua.