Tidak menghairankan apabila sebahagian besar pelajar tidak menggemari mata pelajaran Sejarah. Terlalu banyak fakta lampau, tarikh dan peristiwa yang hendak dihafal, kata mereka.

Dari sudut pandangan lain, sejarah mempunyai kepenting­an tersendiri dalam kehidupan seseorang individu, sesebuah negara, bangsa mahupun tamadun manusia.

Melalui sejarah, kita boleh mengenal asal usul diri, tempat dan mengambil pengajaran daripada kejadian masa dahulu bagi menghadapi ca­baran akan datang.

Berbanding di negara lain, rakyat negara ini dikatakan masih kurang menghargai perlunya untuk merekodkan sesuatu peristiwa dan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Tidak ada budaya menulis dan menyimpan maklumat yang satu ketika nanti boleh didokumentasi sebagai bahan sejarah dan dikongsi bersama masyarakat. Tugas itu seolah-olah diserahkan 100 peratus kepada ahli akademik, pengkaji sejarah dan pihak muzium semata-mata.

Ekoran itu kebanyakan sejarah berkaitan negara ini dahulunya dikumpul dan ditulis oleh bangsa asing berbanding rakyat tempatan sendiri.

Kepentingan mencatat dan melakukan kajian sejarah ini dibangkitkan oleh Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam satu program di Jelebu baru-baru ini.

Mengambil contoh sejarah Jelebu, katanya, kebanyakan buku mengenainya ditulis oleh penulis asing termasuk seorang pegawai Inggeris yang pernah berkhidmat di daerah itu satu ketika dahulu.

Jika ada pun buku tulisan rak­yat tempatan mengenai daerah itu adalah yang ditulis Rais sendiri bertajuk ‘Jelebak Jelebu: Corat-Coret Anak Kampung’ yang diterbitkan pada 2004.

Justeru, bagi mewujudkan minat dalam menghargai sejarah, beliau menggesa supaya budaya mengkaji asal usul kawasan setempat atau kampung masing-masing dipupuk terlebih dahulu dalam kalangan generasi muda terutama di sekolah menengah.

Bagi penulis, usaha mendokumentasi sejarah ini juga boleh dilakukan di peringkat lebih kecil dengan melibatkan kajian berkaitan asal usul keturunan dan susur galur keluarga masing-masing. Ini kerana kebanyakan daripada kita sendiri gagal mewujudkan rekod tentang datuk, nenek, saudara mara malah asal usul sebenar keluarga.

Hal ini menyebabkan kita tidak dapat menjejaki siapa yang berada di dalam susunan keluarga dan bentuk hubungan persaudaraan. Akibatnya, hari ini sudah ramai yang mempunyai pertalian darah tidak me­ngenali satu sama lain.

Sekiranya ada rekod lengkap mengenai sejarah keluarga yang kemudian dikemas kini sudah tentu masalah itu dapat dirungkaikan, malah boleh dijadikan warisan keluarga untuk disimpan generasi demi generasi. Yang pasti, kita sendiri mesti memulakan usa­ha itu dan ja­ngan berharap kepada orang luar menulis sejarah kita.