Jika anda mahu mencuba makanan selain daripada martabak, roti jala atau roti john, menu udang sanggul yang dibalut kulit popia mungkin boleh diletakkan dalam senarai juadah berbuka puasa nanti.

Rangup dan isinya yang lazat, udang sanggul yang dijual seorang peniaga, Zulhusni Abu Hassan, 37, di Bazar Ramadan Taman Suria, di sini sentiasa menjadi tumpuan pengunjung setiap hari.

Selain udang sanggul, Zulhusni yang dibantu pekerjanya turut menjual dua lagi menu istimewa di gerainya iaitu wantan goreng dan popia seafood.

Namun, kata Zulhusni, udang sanggul yang menggunakan udang jenis harimau menjadi pilihan utama pengunjung sejak pukul 4 petang sehingga menginjak ke waktu untuk berbuka puasa.

“Terdapat pengunjung yang mahu menikmati hidangan udang sanggul ketika masih panas sehingga mereka sanggup menunggu hujung-hujung waktu perniagaan, tetapi ada juga yang beli awal-awal untuk persediaan berbuka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zulhusni, dia menyediakan antara 100 ke 150 ekor udang harimau setiap hari bagi menampung permintaan pembeli terutamanya pelanggan tetap.

“Saya mula menjual juadah ini di bazar Ramadan sejak tahun lepas, manakala pada waktu lain saya berniaga di pekan sehari atau pasar malam sekitar Jitra.

“Alhamdulillah setiap hari perniagaan memberansangkan apabila makanan yang disediakan habis licin dijual. Kanak-kanak antara golongan yang menyukai udang sanggul ini,” katanya yang memberitahu harga setiap ekor udang itu adalah RM2. - UTUSAN ONLINE