Namun di sebalik tanggapan itu, sisa makanan sebenarnya boleh ditukar kepada kompos atau baja yang bukan saja untuk kegunaan sendiri tetapi berpotensi komersial dan mampu menjana pendapatan.

Wartawan Utusan Malaysia, NAZARUDIN SHAHARI menemu bual aktivis alam sekitar, DR. ROKIAH HASSAN yang juga Pengarah Urusan Heritage Environment Sdn. Bhd. mengenai usaha beliau menjadikan sisa makanan sebagai kompos berfaedah.

SmartHeritage adalah hasil penyelidikan dan pembangunan inovasi sains alam sekitar yang memberi fokus kepada penghasilan baja daripada sisa makanan.


UTUSAN MALAYSIA: Terangkan serba sedikit mengenai program Smart Heritage?

DR. ROKIAH HASSAN: Smart Heritage adalah hasil kaji selidik dan pembangunan inovasi sains alam sekitar yang saya mulakan sejak 2009. Ia adalah usaha dan sistem pembelajaran memelihara alam sekitar menggunakan teknologi hijau yang mudah diaplikasikan, salah satunya adalah mengurangkan pencemaran dari punca. Salah satu aktiviti yang sesuai dibuat oleh semua orang untuk memelihara alam sekitar adalah menghasilkan kompos atau baja daripada sisa makanan.

Program ini diinovasi secara khusus untuk pembelajaran memelihara alam sekitar melalui kaedah transformasi sisa makanan kepada kompos menggunakan teknologi hijau.

Apa yang dimaksudkan dengan kompos?

Kompos adalah bahan organik yang diuraikan dalam tempoh tertentu. Ia boleh digunakan sebagai baja atau penyubur tanaman. Ia adalah bahan penting dalam pertanian organik yang mana masyarakat masa kini amat mementingkan penghasilan tanaman yang bebas daripada bahan kimia.

Kompos yang telah matang boleh digunakan untuk tujuan rawatan tanah, perapian tanah dan penanaman secara skala kecil atau besar.

Apa yang mendorong puan melaksanakan inovasi ini?

Berdasarkan statistik, seluruh isi rumah di negara ini menjana kira-kira 33,000 tan sisa pepejal setiap hari yang mana kira-kira 44 peratus daripadanya adalah sisa makanan yang dibuang begitu saja.

Pada masa yang sama, negara menghadapi masalah pencemaran yang memberi kesan kepada kehidupan manusia selain masalah tapak untuk melupuskan sisa pepejal yang semakin terhad saban tahun.

Jika kita mampu menukar sebahagian daripada sisa pepejal ini kepada bahan yang bermanfaat, sudah tentu ia membantu mengatasi masalah tersebut.

Bagaimana kita boleh memanfaatkan sisa makanan ini?

Sebenarnya banyak sisa makanan yang kita buang setiap hari mempunyai khasiat yang penting untuk tumbuh-tumbuhan seperti kulit buah-buahan, kulit bawang, kulit telur, roti, sayur, serbuk teh dan kopi yang sudah digunakan.

Contohnya campuran sisa-sisa sayur-sayuran, buah-buahan, makanan seperti nasi, roti, kuih-muih, kulit pisang, kulit limau, rempah ratus, herba, daun hijau dari sisa kebun atau rumput juga sangat bagus dijadikan bahan kompos kerana mengandungi pelbagai zat antaranya nitrogen, potasium yang sangat diperlukan oleh tumbuhan selain mengandungi unsur kawalan perosak tanaman dan tanah.

Bahan-bahan kompos ini ada di sekeliling kita dan tidak perlu dibeli kerana kita sendiri menjananya seperti di rumah, kantin sekolah, pasar, kedai runcit, kedai makan, pasar malam, bazar Ramadan dan majlis keraian.

Jadi bagaimana kita mampu melihat kempen transformasi sisa makanan kepada kompos ini berjaya?

Kami ingin melihat impak pemeliharaan alam sekitar ini secara berterusan dan menyasarkan penglibatan murid sekolah sebagai pemangkin kejayaan kempen ini. Bagi mencapai hasrat ini saya merekacipta dua komponen utama iaitu Duta Hijau dan e-pembelajaran.

Duta Hijau dilaksana dengan melantik murid-murid sebagai duta yang mampu menjadi model perubahan budaya bagi mempengaruhi masyarakat supaya bersikap positif dan memberi inspirasi kepada murid lain untuk melibatkan diri dalam penghasilan kompos dari sisa makanan dari punca.

e-pembelajaran pula ialah sistem yang direka khas iaitu Sistem Pengurusan Pendidikan dan Sistem Pengurusan Sisa bagi membolehkan pendidikan mengenai perkara ini dipelajari secara dalam talian. Modul, kaedah, fakta, gambar dan video boleh dipelajari atau dimuat turun daripada sistem ini.

Para guru, pentadbir sekolah atau pihak berkuasa tempatan atau kementerian berkenaan boleh menggunakan maklumat ini sebagai rujukan. Ia juga boleh dijadikan sebagai salah satu pendekatan pembelajaran abad 21 yang diminati oleh para guru di Malaysia dan luar negara.

Apa manfaat yang diperolehi murid yang terlibat dalam Smart Heritage?

Faedah projek ini antara lain membolehkan murid mencipta rekod sama ada secara peribadi atau kumpulan dalam usaha memelihara alam sekitar.

Ia berupaya melahirkan pemimpin muda yang boleh mempelopori dalam bidang sains, keusahawanan dan kejuruteraan selain mempromosikan kompos sisa makanan secara berterusan.

Pengalaman melaksanakan projek ini membuka peluang dan minat kepada semua murid terhadap sains, bidang kejuruteraan mekanikal pertanian atau usahawan tani serba moden. Industri teknologi hijau ketika ini berada di antara kedudukan yang teratas dan mempunyai peluang yang sangat cerah di seluruh dunia.

Bagaimana sambutan dan penyertaan sekolah ketika ini?

Sehingga kini, projek ini telah menarik minat lebih 50 buah sekolah kebanyakannya di Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak dan Pulau Pinang selain persatuan penduduk dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Saya juga pernah berkongsi program Smart Heritage di Laos, Thailand, Sri Lanka, Turki dan China. Sasaran selepas ini adalah sekolah di sekitar Asean. Maklumat mengenai program ini boleh diperolehi dari laman web www.smartheritage.com.my atau facebook: Smart Heritage.