Bagaimanapun menurut beliau, jumlah itu tidak membimbangkan dan menunjukkan trend penurunan sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Bagi penulis sudah tiba masanya masyarakat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor berubah dan kedua-duanya perlu keluar daripada zon selesa.

Difahamkan terdapat dua faktor mengapa negeri ini merekodkan jumlah tertinggi dalam kes denggi.

Faktor pertama, jadual kutipan sampah yang tidak terurus dengan baik oleh kontraktor yang dilantik PBT.

Sewajarnya PBT di Sela­ngor perlu menambahbaik per­khidmatan kutipan sampah domestik dalam kawasan pentadbiran masing-masing. Penambahbaikan ini mampu menangani aduan yang dikemukakan penduduk berkaitan jadual kutipan sampah yang tidak teratur sebelum ini.

Faktor kedua pula pembangunan yang semakin pesat di negeri ini menyebabkan wujudnya banyak tapak pembinaan yang menjadi lokasi pembiakan jentik-jentik nyamuk aedes.

Kegagalan PBT di Selangor memantau secara berterusan tapak-tapak projek yang dikenalpasti sebagai kawasan pembiakan nyamuk aedes juga menjadi pe­nyumbang peningkatan penularan wabak denggi.

Operasi yang dijalankan janganlah hangat-hangat tahi ayam. Tindakan tegas perlu diambil terhadap pemaju yang gagal mematuhi undang-undang ditetapkan. Tidak hanya arahan penutupan tapak diambil, tindakan lebih tegas perlu diambil terutama di tapak pembinaan yang berulang kali melakukan kesalahan sama.

Bagi penulis selagi ma­syarakat tidak mengubah sikap mereka, selagi itulah negeri Selangor berada di carta paling atas merekodkan jumlah kes denggi.

Sikap tidak peka mengenai bahaya demam denggi juga menyebabkan mereka tidak begitu mengambil berat soal kebersihan. Membuang sampah sarap merata-rata tempat terus menjadi tabiat segelintir masyarakat.

Untuk mendapatkan keputusan berbeza, perubahan perlu dilakukan.Bukan sahaja kepada minda, tetapi juga perubahan pada jadual harian ataupun dari aksi dan sikap diri sendiri. Bukan mudah untuk melakukan tranformasi diri keluar dari zon selesa, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil.