Di sebalik kempen dan tips keselamatan yang dihebahkan dalam media massa, tabiat ibu-bapa meriba anak di tempat duduk hadapan ken­deraan masih menjadi kebiasaan tanpa menyedari risiko yang ditanggung si kecil.

Bayangkan risiko yang dihadapi bayi dalam posisi itu. Ja­ngan kata hentakan kemalangan, dentuman daripada beg udara (di tempat duduk hadapan) sahaja sudah cukup untuk menyebabkan kematian.

Tabiat lain termasuk mele­takkan tilam mudah alih di tempat duduk belakang ken­deraan untuk keselesaan anak-anak tidur terutama dalam perjalanan jarak jauh yang boleh membahayakan anak-anak.

Menurut laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) kira-kira lima tahun lalu, kes kemalangan jalan raya merupakan penyebab nombor satu kematian kanak-kanak di negara ini.

Statistiknya menunjukkan 31 daripada 53 kanak-kanak dan bayi yang terlibat dalam kemalangan berakhir dengan kematian.

Di sebalik fakta-fakta me­ngerunkan itu, pelbagai alasan diberikan oleh ibu-bapa untuk tidak memasang kerusi keselamatan kanak-kanak.

Antaranya adalah harga peralatan tersebut yang mahal dan rumit dipasang, walhal kajian membuktikan penggunaannya mampu menyelamatkan nyawa kanak-kanak sehingga 50 peratus.

Keupayaan mengurangkan risiko kematian itu dikira berdasarkan keberkesanan peranti berkenaan menghalang kanak-kanak tercampak dari kende­raan kerana berat badan mereka yang jauh lebih ringan berban­ding orang dewasa.

Namun, pema­sangan kerusi keselamatan itu harus dilakukan dengan betul iaitu secara menghadap ke arah belakang kenderaan bagi kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah untuk mengurangkan risiko kece­deraan bahagian leher yang boleh membunuh.

Selain itu, penggunaan kerusi keselamatan yang mempunyai ISO FIX iaitu yang dikeluarkan Pertubuhan Pia­waian Antarabangsa juga di­sahkan dapat melindungi tulang belakang kanak-kanak yang belum cukup kuat untuk menanggung impak.

Justeru, penulis merasakan sebagai ibu-bapa kita tidak boleh terlalu berkira untuk mendapatkan sebuah kerusi keselamatan yang berkualiti demi melindungi nyawa anak-anak.

Di negara maju seperti Ero­pah, Perancis, Jerman dan Jepun, penguatkuasaan undang-undang pemakaian kerusi keselamatan untuk penumpang kanak-kanak langsung tidak dikompromi.

Justeru sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan kewajipan penggunaan kerusi berkenaan di dalam ken­deraan persendirian se­pertimana tali pinggang keledar melin­dungi orang dewasa.