Mereka menuntut Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu yang dianggap tebal dengan perkauman namun menjadi menteri yang bertangungjawab soal perpaduan memohon maaf  di atas pembohongan beliau dengan menyebarkan kenyataan palsu dan berupa fitnah jahat terhadap negara.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Cukai kira-kira pukul 9.345 pagi tadi dan diketuai Ketua Wanita UMNO Bahagian,  Rosmiza Mokhtar.

Lebih 200 orang ahli berkumpul di Dataran Cukai sebelum wakil-wakil dari setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen menuju balai polis untuk membuat lapuran.

Rosmiza berkata, Waytha Moorthy tidak layak menjadi seorang menteri yang menerajui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan harus meletak jawatan atas tindakannya yang membangkit kemarahan rakyat setelah turut beria-ia untuk membolehkan kerajaan meratifikasikan  Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Sehingga kini, menteri itu tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat yang telah dilemparkan melalui video  itu meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad memberitahu Waytha Moorthy sudah berubah sekarang.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami percaya ucapan itu berniat menghasut, membangkitkan rasa benci dan menimbulkan ketegangan antara kaum seterusnya mengancam keselamatan negara,” ujarnya.

Katanya, Waytha Moorthy juga telah mengguris perasaan umat Islam, orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak berhubung isu yang disifatkan sebagai menentang semangat Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu Ketua Puteri Bahagian Kemaman, Hafizah Zakaria berkata, Waytha Moorthy bukanlah seorang individu yang mampu menyumbang kepada perpaduan sebaliknya lebih kepada perpecahan.

“Waytha Moorthy menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO kerana dasar-dasar yang dibuat menghalang kaum India untuk berada dalam arus perdana pembangunan negara.

 Katanya, ia menggambarkan seolah-olah Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik dan melakukan penindasan teruk kepada kaum dan penganut agama lain, antaranya merobohkan kuil Hindu dan menafikan hak asasi kaum lain. - UTUSAN ONLINE