Sudah sekian lama, seakan hanya sedikit waktu tersisa buat mereka, justeru keluarga membayangkan beliau akhirnya dapat memulakan persaraan dengan kehidupan lebih tenang, dan tentunya lebih masa bersama mereka.

Anak sulungnya, Dr. Wan Amirul Nazri dalam laman facebook yang meluahkan rasanya menyatakan bahawa mereka merindukan ada­nya beliau di rumah, yang dirasakan begitu membahagiakan, setelah sering diburu kesibukan tuntutan kerja dan tanggungjawab apatah lagi setelah menyandang jawatan Setiausaha kerajaan ne­geri.

“Namun apabila beliau terpilih sebagai calon, saya sangat kagum dan sebenar-benarnya risau dengan kesanggupan beliau memikul tanggungjawab yang begitu berat walaupun beliau sedar masanya akan lebih diluangkan untuk rakyat, dan semakin kurang untuk keluarga.

“Sesungguhnya tiada apa lagi yang dimahukan beliau selain ke­puasan membantu masyarakat dan memberi khidmat bakti kepada ta­nah bertuah tempat lahir dan membesar.

“Beliau pernah berkata kepada kami adik beradik, amal yang pa­ling utama ialah menolong orang yang di dalam kesusahan. Tak kami sangka takdir yang menunggu abah ialah sebenar-benar peluang untuk terus menabur bakti kepada masyarakat,” ujar Wan Amirul.

Bagi keluarganya rasa kesedihan itu beransur menghilang, berubah kepada kegembiraan dan keredaan dengan kesedaran betapa besarnya pahala berbakti dan membuat kebajikan kepada rakyat melalui platform terbaik yang disediakan untuknya.

Wan Nawawi, 61, telah berkhidmat selama 37 tahun sebagai penjawat awam dan pernah disebut-sebut sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berkata, keputusan telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti dan beliau akur menerimanya.

“Saya anggap pencalonan ini sebagai anugerah daripada Allah. Sebelum ini, saya fikir dengan melepaskan jawatan sebagai penjawat awam, dapat mengurangkan beban yang dipikul.

“Tetapi Allah telah menetapkan takdir saya untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan saya akan cuba melakukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir khidmatnya 19 April lalu.

Wan Nawawi yang pernah disebut-sebut menjadi calon pada PRU-13 lagi, mula dilantik ke jawatan tertinggi pentadbiran negeri pada 3 Ogos 2016 dan perkhidmatannya yang sepatutnya berakhir pada Ogos tahun lalu disambung selama setahun.

Wan Nawawi, lulusan Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Oklahoma, Amerika Syarikat pernah menjadi Pegawai Daerah Kuala Terengganu dan Setiu di samping Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan dan Pegawai Kewangan negeri.

Kalangan pemerhati politik berpendapat pemilihan Wan Nawawi untuk bertanding di kawasan yang dianggap hitam bagi BN itu sebagai tepat kerana boleh memberikan keyakinan tinggi kepada masyarakat untuk merampas semu­la kerusi yang dimenangi Pas.

Pemilihan anak kelahiran kampung Kubang Ikan yang sawah menjadi medan permainannya ternyata disambut baik, dianggap mampu membuka lembaran baharu dalam politik BN Kuala Terengganu, dan mengembalikan warna yang cerah.

Beliau dilihat sebagai bakal pe­nyambung leagasi Allahyarham Datuk Razali Ismail, tokoh pendidik yang hebat, dengan pendekatan tersendiri memberikan khidmat dan kekal dikenang oleh rakyat.

“Secara jujur, saya tidak dapat membandingkan diri saya dengan arwah Datuk Razali kerana beliau berada di kelas yang tersendiri. Kelebihan saya mungkin dalam perkhidmatan awam dengan pelbagai pengiktirafan yang diterima di samping anugerah kepimpinan sukan negara,” ujarnya.

Namun tokoh Pas, Abdul Wahid Endut turut melihat sisi lain tentang ketinggian keperibadian Wan Nawawi yang dilihatnya mudah bermesra dengan siapa sahaja tanpa membezakan fahaman politik dan kedudukan, tidak meninggi diri, malah melihatnya sebagai seorang sahabat di sebalik seteru politik.

Barangkali kenyataan terbukanya itu dapat menjadi pelengkap kepada biodata Wan Nawawi yang disandar harap untuk membirukan Kuala Terengganu bersama calon-calon lain yang sudah lama memberi khidmat mendasari kehidupan rakyat.