Pengarah KPDNKK negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, langkah itu telah dimulakan Sabtu lalu sehingga 21 Februari ini dengan tumpuan di pasar-pasar awam, pasar tani dan pasar raya seluruh negeri.

“Mereka ditempatkan di lokasi-lokasi tumpuan pengguna bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan selain tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah sepanjang musim perayaan.

“Sejak Sabtu lalu sehingga hari ini, kita telah memeriksa sebanyak 639 premis di peringkat runcit, pemborong serta pasar basah, dan setakat ini seramai tujuh peniaga telah dikenakan kompaun sebanyak RM800 kerana gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu.

“Tanda harga itu bagi barangan terkawal mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 manakala dua lagi peniaga dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 selepas didapati menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan Operasi Bersepadu Bersama 11 Agensi Penguat Kuasa Terengganu Menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2018 di Pasar Borong Gong Pauh di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE