Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, dua pelajar itu ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisza, Harun Osman dan Timbalan Presiden 2 majlis tersebut, Ahmad Kamil Makhtar.

Selain itu, katanya, Unisza turut melantik dua lagi pemimpin pelajar iaitu Ketua Perhubungan Mahasiswa MPP, Ahmad Sufian Mohd. Dalizan dan Ain Syazana Zolkepli (Bendahari 2 MPP) sebagai pemerhati.

“Unisza berasa bertanggungjawab untuk menyahut seruan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan kita melihat usaha ini sebagai satu gerakan ke arah memperkasakan pelajar dalam pentadbiran universiti.

“Terima kasih kepada Menteri atas cetusan idea ini dan kita mengambil langkah segera serta proaktif membincangkan semasak-masaknya untuk memilih pemimpin pelajar yang terbaik,” katanya kepada pemberita sebelum Mesyuarat Bulanan Senat yang pertama buat keempat-empat pelajar itu di Bangunan Pentadbiran Unisza di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unisza, Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh.

Ahli senat Unisza ketika ini adalah seramai 46 orang yang terdiri daripada kalangan pegawai tertinggi universiti, dekan dan profesor kanan.

Menurut Hassan Basri, pelantikan empat pemimpin pelajar berkenaan sebagai ahli dan pemerhati Mesyuarat Senat merupakan penghormatan tinggi buat golongan penuntut di Unisza.

Sementara itu, Harun menyifatkan peluang tersebut sebagai satu penghargaan besar yang akan dimanfaatkan sebaik mungkin kerana membolehkam kalangam pelajar mengetahui dasar dan polisi terutama berkaitan akademik.

“Terima kasih kepada pengurusan Unisza atas pelantikan MPP sebagai ahli dan pemerhati Mesyuarat Senat.

“Saya rasa cukup bertuah kerana terpilih dan akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan pengurusan universiti dengan sebaik mungkin,” kata pelajar tahun tiga Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) ini. - UTUSAN ONLINE