Seramai 12 golongan asnaf di daerah ini dipilih menerima bantuan dalam Program Teman Masyarakat Telekom Malaysia Berhad (TM) Negeri Terengganu sempena Ramadan 1440H di sini, semalam.

Pengurus Besarnya, Mohd. Yazid Abd. Manaf berkata, sempena Ramadan kali ini TM Terengganu mengadakan aktiviti memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat bermula di Ibu Sawat TM Jerteh pada Ahad lalu.

“Selain itu, TM Terengganu juga turut menyumbangkan barangan keperluan dapur dan zakat kepada 12 golongan asnaf terpilih di kawasan Kerteh,” katanya kepada Utusan Malaysia di tempat letak kereta Ibu Sawat TM Mak Cili sempena program memasak bubur lambuk bersama 50 warga TM Terengganu.

Hadir sama, Pengurus Besar Network Development TM Timur, Ismahalil Aply.

“Sumbangan dan penyerahan zakat ini merupakan tuntutan kami sebagai sebuah organisasi korporat untuk meringankan beban ditanggung golongan memerlukan,” katanya.

Pada program tersebut, sebanyak 360 bungkus bubur diagihkan kepada kakitangan bertugas dan orang ramai di hadapan Ibu Sawat TM Mak Cili di sini.

Mohd. Yazid berkata, untuk rekod, pada 2018, TM Terengganu telah mengagihkan zakat perniagaan berjumlah RM242,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.

Menerusi program-program seperti Program Teman Masyarakat ini, ia memberi peluang kepada TM Terengganu untuk menyumbang kepada masyarakat setempat, selari dengan visi TM, ‘Menjadikan Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah demi Kesejahteraan Malaysia’.

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan bertujuan mendekati masyarakat dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kakitangan,” katanya. - UTUSAN ONLINE