Mereka adalah Muhammad Faidhu Rahman Kamalruazmi, 19, dan Nik Karimah Nik Abdul Ghaffar, 20, yang masing-masing memperoleh keputusan Mumtaz Sofi (Amat Cemerlang) dalam STAM manakala Nur Syahidah Hassan, 20, pula mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam STPM.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam majlis yang diadakan di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini.

Bagaimanapun, kedua-dua penerima keputusan Mumtaz Sofi itu diwakili keluarga masing-masing kerana sedang melanjutkan pengajian di luar negara.

Seramai 165 pelajar Cemerlang STAM (Mumtaz, Jayyid Jiddan, Jayyid), STPM dan SPM 2018 di samping 81 guru dan pengetua diraikan dalam majlis itu, kesemua mereka menerima anugerah dan cenderahati.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Azmi Mat Arsyad.

Dalam ucapannya, Ahmad Samsuri menasihatkan para pelajar agar tidak cepat patah semangat sebaliknya, terus teguh berjuang dalam menuntut ilmu walaupun berdepan ujian dan cabaran.

“Perjalanan anak-anak masih panjang dan penuh dengan ranjau di kiri serta kanan. Ada yang gagal untuk berdepan cabaran dan suasana yang berbagai-bagai terutama kepada kalangan yang akan ke luar negara.

“Sekiranya tidak sanggup mencari jalan terhadap masalah yang dihadapi maka anak-anak akan tewas walaupun asalnya merupakan pelajar cemerlang jadi, ini yang perlu disematkan dalam diri masing-masing dan jangan sesekali berasa cukup dengan apa yang dicapai,” katanya. UTUSAN ONLINE