Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa ini tiada sebarang keperluan untuk Terengganu melaksanakan atau mempertimbangkan arahan sedemikian.

Bagaimanapun, beliau percaya, Kelantan tentunya mempunyai sebab tersendiri dalam soal itu kerana setiap negeri mempunyai suasana setempat dan masalah masing-masing yang berbeza-beza.

“Saya pun dapat maklumat melalui media sosial dan akan cuba dapatkan penjelasan daripada rakan-rakan di sana (Kelantan).

“Buat masa ini kita tidak ada sebarang keperluan itu. Keperluan kebiasaannya timbul jika ada masalah dan kita tidak mengalaminya di sini. Kalau sekali pun ada masalah pada masa akan datang kita akan cuba tangani masalah tersebut dengan cara yang sesuai.

“Ada sesetengahnya diatasi dengan nasihat dan ada juga dengan peraturan. Itu adalah cara biasa,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu ke-40 dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM 2018 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat; Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim.

Semalam tular di laman sosial arahan daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan kepada Ketua Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri itu supaya semua premis makanan ditutup atau menghentikan sementara operasi selama sejam 30 minit bermula pukul 8.30 malam sepanjang Ramadan.

Surat yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Adnan Hussin menjelaskan bahawa arahan tersebut adalah bagi menghormati Ramadan dan mengalakkan umat Islam menunaikan solat Tarawih. - UTUSAN ONLINE