Majlis pelancaran Kempen Selamatkan Laut Kita dan Penyerahan Projek Unjam EAFM Daerah Kuala Terengganu itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Dr. Azman berkata, setakat ini Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang memulakan kempen `selamatkan laut kita’ dengan tema `jangan tohok (buang) sampah ke laut’ bagi memastikan setiap bot nelayan sentiasa menjaga kebersihan ketika di laut.

“Kempen `selamatkan laut kita’ di Terengganu hari ini adalah yang pertama dilancarkan di negara ini dengan tema `jangan tohok sampah di laut’. Justeru, sampah-sampah yang terhasil, nelayan akan kumpulkan dan dibawa pulang ke daratan untuk dilupuskan,” katanya.

Yang turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali.

Beliau menarik perhatian, berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), masalah pencemaran laut dengan kotoran sampah yang dibuang oleh nelayan adalah sangat membimbangkan.

Dr. Azman turut membayangkan bagaimana kesemua 2,578 buat bot nelayan di Terengganu dengan setiap hari nelayan membuang kira-kira 2.5 tan sampah di mana trend itu berterusan sehingga menjelang tahun 2050.

“Jika jumlah itu tidak terkawal, bermakna sampah di laut menjadi lebih banyak daripada jumlah ikan, dianggarkan 170 juta metrik tan sampah di laut dalam tempoh itu (menjelang 2055).

“Ini sangat membimbangkan kerana menjadi ancaman serius kepada kehidupan laut seperti penyu sehingga berlaku kes kematian di sebabkan penyu ini keliru antara obor-obor yang jadi makanannya dengan plastik,” jelasnya.

Bagi tujuan itu, katanya, pada masa ini terdapat 14 jeti utama di seluruh Terengganu dan setiap jeti disediakan tong sampah bagi menjayakan kempen `selamatkan laut kita’ ini. - UTUSAN ONLINE