DR. AZMAN IBRAHIM
DR. AZMAN IBRAHIM 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, keutamaan akan diberikan terhadap aspek 3P iaitu pertanian, penternakan dan perikanan dengan mengekalkan bantuan sedia ada di samping inisiatif baharu yang memberi manfaat kepada golongan sasar.

"Peladang, petani, penternak dan nelayan merupakan masyarakat majoriti di Terengganu jadi Bajet 2019 ini sememangnya dirangka berdasarkan kepentingan mereka.

"Untuk perikanan, kerajaan negeri berhasrat memperkayakan sumber perikanan termasuk melabuhkan tukun dan unjam di samping menyelesaikan soal infrastruktur jeti pendaratan ikan yang secara relatifnya agak kurang lengkap hingga menyebabkan nelayan Terengganu terpaksa mendaratkan hasil laut di negeri lain misalnya di Tok Bali, Kelantan dan di Kuantan, Pahang," katanya.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia bertajuk 'Tolonglah Kami...' yang mengupas rintihan dihadapi nelayan, penoreh getah dan pekebun sawit yang terbeban untuk meneruskan kelangsungan hidup ekoran faktor cuaca, penurunan harga komoditi selain kenaikan kos sara hidup yang terus membelenggu.

Kelompok itu berkemungkinan lebih terhimpit sekiranya nasib mereka terus dipandang sepi dengan ketiadaan bantuan daripada kerajaan.

Menurut Dr. Azman, kerajaan negeri juga akan memperkasakan program Agropreneur Muda selaras untuk menarik lebih ramai belia menyertai bidang pertanian menerusi kursus, latihan dan kemahiran yang disediakan buat mereka.

Katanya, dalam masa sama bantuan input akan turut diberikan kepada golongan sasar yang berdepan kekangan modal.

"Kerajaan negeri akan memberi perhatian serius kepada usaha membaik pulih projek-projek sakit di Terengganu oleh kerajaan terdahulu antaranya,  Lembah Kaprima bagi penternakan kambing secara komersial di negeri ini dan penanaman kelapa matag di Kampung Kubang Puyu di Langkap, Setiu," katanya. - UTUSAN ONLINE