Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, beliau turut teruja serta kagum dengan pencapaian kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman atas komitmen tinggi untuk sama-sama memerangi gejala rasuah kalangan kakitangannya.

“Saya nak nyatakan di sini rasa teruja saya dan setinggi terima kasih kepada Menteri Besar (Ahmad Razif) kerana berjaya menganjurkan majlis ini melibatkan pentadbiran kerajaan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Justeru saya ucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri ini memandangkan Terengganu menjadi negeri pertama mencapai 100 peratus IBR kalangan jabatan serta agensi serta GLC,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahmad Razif serta Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan majlis itu disertai sebanyak 72 pelbagai agensi kerajaan dan GLC di negeri ini.

Dzulkifli seterusnya memuji komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan Terengganu untuk memastikan seluruh kakitangannya sentiasa bebas daripada gejala rasuah.

Beliau turut menarik perhatian bahawa Terengganu merupakan antara negeri yang mencatat jumlah keahlian tertinggi menyertai Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) di bawah kelolaan SPRM sejak dilancarkan tahun lalu. - UTUSAN ONLINE