Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kenaikan kadar baharu itu perlu dibuat berdasarkan kaedah pengiraan tertentu setelah mengambil kira kadar tarif di negeri ini tidak pernah disemak sejak 22 tahun lalu.

Beliau berkata, Terengganu merupakan antara tiga negeri yang kadar tarif air tidak pernah disemak sejak lebih 20 tahun lalu, sedangkan ada sesetengah negeri sentiasa berbuat demikian pada setiap tahun.

“Saya percaya akan berlaku sedikit kenaikan tapi kita akan kaji seluruh segmen masyarakat tentang penggunaan air ini dan tentulah ada kategori lain seper­ti sektor industri dan sebagai­nya yang perlukan pertimbangan untuk kenaikan.

“Saya rasa kita akan capai keputusan kerajaan negeri sendiri setelah kita lakukan semakan secara lebih terperinci dan kita harap sebelum (akhir) Januari ini, kita akan buat keputusan dan nyatakan kepada kementerian berkenaan,” katanya selepas menyempurnakan majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Negeri dan Angkat Sumpah Pihak Berkuasa Tempatan Ne­geri di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Minggu lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A Xavier Jayakumar menyatakan kadar tarif air mungkin akan dinaikkan tahun ini secara berperingkat, sejajar usaha kerajaan dalam usaha menstruktur semula perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Ahmad Samsuri berkata, pihaknya memberi jaminan akan cuba menyelesaikan perkara itu selewat-lewatnya penghujung bulan depan sebelum berlangsung mesyuarat Majlis Tanah Negara.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut berapa banyak kadar kenaikan tarif baharu air yang ditentukan kerajaan Terengganu nanti.