Alias Harun

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun (gambar) berkata, ibadat yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dapat mengekang nafsu daripada terus menguasai diri agar tidak terjebak lagi.

“Solat yang menjadi perintah Allah mendidik jiwa manusia supaya dapat mencegah perbuatan mungkar dan memperbanyakkan amal kebaikan. Maka, solat tidak boleh ditinggalkan oleh sesiapa pun yang beragama Islam.

“Biasakan diri solat berjemaah di surau atau masjid supaya tidak kembali ke kancah dadah dan maksiat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada bekas penagih dadah yang diistilahkan sebagai Orang Kena Pulih (OKP) ketika kunjungan ke rumah mereka sempena Program Ziarah Sejahtera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, baru-baru ini.

Alias berkata, program itu terus mendekati dan meninjau kehidupan bekas penagih suatu pendekatan amat baik dan tinjauan mendapati mereka berpotensi serta mampu untuk pulih sepenuhnya jika tabah.

Sementara itu, Ketua Daerah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah, Roslina Awang berkata, program itu adalah kerjasama antara AADK, Jawatankuasa Pemulihan Daerah Dungun (JKPD) dan Pejabat Penyelaras DUN Rantau Abang.

“Program ziarah berkala ini bertujuan untuk memantau kes pengawasan OKP, dan sebanyak empat rumah OKP sekitar Tanjung Jara, Kampung Baru Kuala Abang dan Pulau Serai telah di­lawati,” katanya.