Acara tradisi tahunan sempena sambutan Bulan Kebangsaan itu dianjurkan bersama oleh Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dengan kerjasama PPAT.

Pengerusi penganjur, Kamarulzaman Ismail memberitahu program yang diadakan sejak tahun 1987 itu antara lain bertujuan mengukuhkan perpaduan kaum di samping memperkasakan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat bagi menyerikan lagi sambutan kemerdekaan melalui pengucapan puisi.

Katanya, sayembara itu terbuka kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas dan mereka diwajibkan memilih karya daripada Antologi Puisi Kemerdekaan Tanggam Warisan terbitan seperti ditetapkan penganjur.

"Bagaimanapun, mereka yang pernah muncul johan, naib johan dan ketiga di negeri-negeri lain dalam sayembara pada tahun ini tidak dibenarkan bertanding selain larangan membawa alat-alat muzik semasa mendeklamasikan puisi.

"Pertandingan akan diadakan secara saringan dan akhir tertakluk kepada jumlah penyertaan. Peserta yang terpilih sebagai juara peringkat negeri layak mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Kamarulzaman meminta setiap peserta yang terlibat dengan pertandingan SDPK kali ini agar dapat menghadirkan diri lebih awal bagi sesi penerangan dan taklimat oleh

pihak penganjur dan panel penilai.

Sebarang maklumat mengenai sayembara ini boleh menghubungi urusetia SDPK, Mahanie Sulong di talian 013-9149430.- UTUSAN ONLINE.