Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu, kira-kira RM1.3 juta bagi bantuan sara diri tahunan kepada 1,382 penerima manakala RM1 juta bantuan perubatan (257 penerima), RM1 juta bantuan bencana alam (587 penerima) di samping RM500,000 bantuan susu dan lampin pakai buang.

Katanya, perbelanjaan yang dijangka meningkat setiap tahun itu sekali gus menuntut sokongan lebih padu dalam kalangan pelbagai pihak di negeri ini untuk bersama memenuhi keperluan dan meringankan bebanan golongan berkenaan.

“Selain sumbangan yang dihulurkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kita juga menerima caruman pemotongan gaji penjawat awam negeri berjumlah kira-kira RM10,411 sebulan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam TDI di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Yahaya Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

TDI yang diperkenalkan kerajaan terdahulu pada 2016 merupakan salah satu inisiatif dalam memberi perhatian segera kepada mereka yang berdepan musibah dan penyakit kritikal.

Ia merupakan gabungan daripada tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan bagi penyelarasan dan penyaluran bantuan secara sistematik.

Kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Pas meneruskan dana itu dengan beberapa penambahbaikan bagi mengurangkan karenah birokrasi dan mempercepatkan penyaluran bantuan seiring dengan pendekatan negeri berkebajikan menjadi teras kepada pentadbiran.

Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita kemudiannya memberitahu, dana dalam tabung berkenaan ketika ini dianggarkan berjumlah RM3.5 juta.