Penyelaras program, Nazilan Md. Salleh berkata, para peserta yang dibahagikan kepada kategori lelaki dan wanita itu mengayuh basikal sejauh 26 kilometer sebelum tamat di SMK Permaisuri Nur Zahirah.

Katanya, kayuhan diketuai oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Besut, Ab. Halim Hassan serta pegawai-pegawai diikuti guru-guru, Anggota Kumpulan Sokongan (AKP) serta wakil daripada PIBK sekolah-sekolah dalam daerah Besut.

Menurutnya, program tahunan itu diadakan bagi mengisi aktiviti sempena sambutan Hari Guru peringkat daerah Besut tahun ini untuk meningkatkan semangat kerjasama warga pendidikan bersama komuniti setempat.

Beliau berharap agar menerusi program riadah dan rekreasi seumpama itu dapat meningkatkan lagi tahap kesihatan kalangan peserta.

“Menerusi program ini, ia bukan saja dapat tingkatkan lagi tahap kesihatan diri dengan aktiviti menyeronokkan malah mampu mengeratkan silaturahim dan semangat kekitaan di kalangan warga pendidikan Besut,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE