Program yang menyediakan pembelian berkupon sambil menderma itu diadakan bertujuan mengutip derma untuk Majlis Aids Malaysia bagi membantu meringankan bebanan kos rawatan pesakit itu.

Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sepanjang program dua hari itu antaranya Primula Charity Ride (kolaborasi bersama TSG), ceramah agama, pertandingan mewarna kanak-kanak (kolaborasi dengan McDonald) serta gerai makanan, jualan dan permainan.

Pasaria Amal itu turut dimeriahkan dengan pertandingan karaoke sambil menderma, pertandingan booth tercantik berkonsepkan Merdeka selain majlis hi-tea bersama artis.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata, program seumpama itu merupakan manifestasi terhadap kesungguhan serta komitmen semua pihak dalam membela nasib dan menjaga kebajikan para pesakit Aids.

“Pada kesempatan ini kami menyeru masyarakat agar terus beri sokongan kepada para pesakit ini dan pada masa sama membantu menghapuskan stigma serta diskriminasi terhadap orang hidup dengan Aids,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE