Bengkel sehari yang dijayakan semalam di Warisan Sari, Tok Jembal di sini, menyatukan murid-murid itu yang dilatih di sekolah masing-masing selama ini dalam persembahan yang memperlihatkan keupayaan mereka bermain secara harmoni, dan semakin menguasai rentak serta emosi seni muzik tradisional warisan negeri.

Pengarah Pelancongan negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak memberitahu, mereka termasuklah kalangan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, SK Pagar Besi dan SK Telok Ketapang yang dibimbing oleh anggota Sahabat Gamelan Terengganu (SAGA Terengganu).

“SAGA Terengganu merupakan kumpulan ativitis muzik dan tarian gamelan veteran, yang bergerak secara sukarela untuk membantu melahirkan golongan pelapis dan menyemarakkan kecintaan terhadap kesenian itu.

“Apa yang dilakukan semalam merupakan Prapelancaran Festival Gamelan Sedunia yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 25 Ogos nanti,” ujarnya di sini hari ini.

Tun Ahmad Faisal yang juga seorang aktivis dalam SAGA Terengganu berkata, selama ini mereka berusaha memberi nafas kepada gamelan dengan menjadikan pekarangan kediaman Warisan Sari yang bercirikan seni bina tradisional itu bagi persembahan hujung minggu untuk tontonan umum dan juga latihan.

“Aktivis dalam SAGA Terengganu dengan pengalaman yang panjang ingin menyerapkan rasa kecintaan terhadap muzik dan tarian gamelan kepada mereka seawal usia agar dapat melahirkan kalangan pelapis yang boleh dibanggakan kelak.

“Sehubungan itu, sejak tahun lalu, mereka memenuhi permintaan di mana sahaja bagi memberi bimbingan sekiranya pihak sekolah atau badan yang memohon mereka memberikan tunjuk ajar,” ujar beliau-UTUSAN ONLINE