Selain Prof Dr. Che Abdullah Abu Bakar dan Roslan Arshad, turut menerima anugerah sama ialah kakitangan Perpustakaan, Rosnorzaini Rusli.

Hasil penyelidikan mereka, nasi dagang Terengganu yang kekal dengan keaslian rasanya telah membuka ruang untuk dikomersialkan secara meluas di dalam dan luar negara.

Penyampaian disempurnakan oleh Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Yusof Md. Nor dalam Majlis Syarahan Tahunan Naib Canselor dan Anugerah Kecemerlangan Staf di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Yang hadir sama, Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif.

Dalam majlis itu seramai 124 kakitangan UniSZA menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Anugerah Royalti Buku Tertinggi dinobatkan kepada Tajwid Al-Quran hasil nukilan Wan Mohd. Khairul Firdaus Wan Khairuldin; Penerokaan Pengukuran Kualiti Hidup Maqasid Al-Syariah (Mahadzirah Mohamad dan Nizaita Imar) dan Burung-burung di Negeri Terengganu (Anuar McAfee).

Anugerah Royalti Terbitan Pengajaran dan Pembelajaran Tertinggi (English Is Easy, Al-Mu’in Fi Ta’allum Al-Lughah Al-’Arabiyyah dan Al-Madkhai, Ila Al-Dirasat Al-’Arabiyyah);Anugerah Penerbitan Buku (Konsep Paraclate dalam Teologi Kristian dan Akidah Islam); Anugerah Pengajaran Sains & Teknologi (Dr. Suhailan Safel) dan Anugerah Pengajaran Sains Sosial & Kemanusiaan (Prof. Madya Dr. Puspa Liza Ghazali).

Anugerah Ahli Akademik Harapan pula dimenangi Dr. Wan Mohd. Khairul Firdaus manakala Prof. Dr. Kamarul Shukri Mat Teh yang meraih Anugerah Tokoh Akademik Universiti dan mesin i-Dispenser bagi membantu mengoptimumkan rawatan terhadap ketagihan dadah Opiat (Anugerah Pertandingan Inovasi).

Terdahulu, Ahmad Zubaidi dalam syarahannya berkata, UniSZA meluluskan peruntukan RM1 juta bagi merintis pelaksanaan strategi peningkatan reputasi akademik dan penyelidikan di peringkat Asia, tahun ini.

Katanya, inisiatif di bawah pemantauan Pusat Perancangan Strategik dan Pengurusan Kualiti (SPaQM) itu sejajar untuk memastikan UniSZA terus mengorak langkah ke pentas dunia menerusi galakan aktiviti-aktiviti yang dapat memartabatkan kualiti persekitaran dan kewibawaan institusi berkenaan. - UTUSAN ONLINE