MOHD. NURKHUZAINI AB. RAHMAN
MOHD. NURKHUZAINI 

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, usaha itu bagaimanapun perlu juga dilihat dari sudut positif, malah dianggap suatu kreativiti dalam perniagaan.

“Kalau dilihat dari sudut positif maka baiklah dia, begitu juga sebaliknya. Sebenarnya kita sentiasa galakkan usahawan sentiasa cari kreativiti sendiri untuk raih pendapatan mereka. Ada yang jual barang yang sama seperti keropok lekor dan sebagainya, ini satu persaingan.

“Sedangkan yang ini (penjaja jalanan) kita lihat mereka jual di jalan dan bagi saya ini satu kreativiti, cuma pihak berwajib kena lihat dari sudut keselamatan, bimbang berlaku kemalangan,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika menjawab saoalan Mohamad Nawi (BN-Hulu Besut) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini yang berakhir hari ini.

Nurkhuzaini berkata, kerajaan dan agensi keselamatan sentiasa mengambil berat aspek keselamatan termasuk mereka yang menceburi bentuk perniagaan baharu seumpama itu di persimpangan lampu isyarat.

Menurut beliau, pihaknya juga telah menemui para pengusaha terlibat dan mendapati hasil pendapatan yang diperolehi jauh lebih baik daripada perniagaan biasa.

“Kita dah jumpa pengusaha ini dan apa yang mereka perolehi adalah jauh lebih banyak daripada mereka yang duduk (berniaga) dalam kedai. Namun kita akan bantu mereka dari segi keselamatan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE