Tiga daripada mereka, Wan A.Latiff Wan Besar, Wan Salmah Wan Sulaiman dan Zaharah Abdul Hamid yang menjadi rujukan dalam seni tradisi istana itu sehingga kekal dengan identiti tersendiri dan pengenalan bagi negeri, menerima anugerah Tokoh Gamelan Tradisional Melayu.

Seramai tujuh orang lagi menerima anugerah khas berdasarkan pencapaian dan sumbangan membanggakan dalam memulihara, mencetus idea baharu bagi kelestarian, mendokumentasi sejarah dan koleksi bahan rujukan melalui pelbagai medium.

Mereka terdiri daripada Prof. Dr. Siti Zainon Ismail, Dr.Harun Mat Piah, Che Mat Jusoh, Mohd Yusof Abdullah, Sulong Ismail, Othman Abdullah dan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain yang diwakili anaknya Megat Mohd Syahraini.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri,  Ariffin Deraman di Dewan Besar Wisma Darul Iman.

Program dianjurkan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu dan Lembaga Muzium negeri.

Anugerah Adiguru Gamelan Tradisional Melayu pula diberikan kepada Ramli Ibrahim, Hamzah Abdul Hamid, Tun Baharum Tun Abdul Razak, Salwani Shamsuddin, Ahmad Zaki Abdullah, Razali Embong dan Muhammad Shahrul Azmi Hassan.

Sementara itu badan kesenian negeri, SUKTRA Terengganu yang di bawah naungan Pejabat Setiausaha Kerajaan menerima Anugerah Khas Institusi Gamelan Tradisional Melayu.

SUKTRA Terengganu masih berfungsi sebagai payung gamelan dengan corak persembahan yang sentiasa memperlihatkan ekspresi  seni yang estetik dalam majlis -majlis rasmi  dan sebagai duta seni negeri. - UTUSAN ONLINE