Penduduk yang ditemui di kawasan DUN tersebut gembira de­ngan pemilihan semula Mohamed Awang selepas ‘direhatkan’ selama dua penggal.

Seorang penduduk, Tan Kwang Ming berkata, Mohamed merupakan seorang bekas wakil rakyat yang sentiasa menjaga kepentingan masyarakat tanpa mengira kaum.

“Masyarakat Tionghoa amat menyukai Mohamed dan berjanji memberi undi kepadanya bagi memastikan BN terus kekal menerajui negeri dan negara,” katanya.

Bagi pengusaha katering, Che Wan Afizah Che Wan Abdullah, 33, sikap mesra kepada generasi muda yang ditunjukkan oleh Mohamed menyebabkan generasi muda lebih menghormatinya.
 “Beliau sentiasa melayan karenah mereka sambil melemparkan senyuman walaupun kepenatan dengan tugasan. Walaupun perbezaan usia dengan golo­ngan muda, beliau tetap melayan mereka seperti seorang sahabat,” ujarnya.

Seorang pesara kerajaan, Maz­lan Ali, 56, berkata, sepanjang dua penggal Mohamed menjadi wakil rak­yat banyak masalah rakyat dalam DUN Cukai dapat di selesaikan.

Dalam pada itu, Mohamed Awang berkata, beliau tidak me­nyangka akan dipilih bertanding semula memandangkan usianya telah mencapai 68 tahun.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana memberi kepercayaan kepada saya sekali lagi dan akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan bagi memastikan DUN Cukai yang ‘dipinjamkan’ kepada Pas selama satu penggal te­lah tamat tempoh dan kembali kepada BN pada PRU-14,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas ADUN Cukai selama dua penggal iaitu dari 2004 hingga 2013 berkata, keyakinan BN merampas kembali kerusi tersebut amat tinggi selepas mendapat sambutan luar biasa setiap kali turun padang pada kempen PRU-14 ketika ini.