Penyertaan mereka melengkapkan gandingan muka lama yang berpengalaman bersama kalangan penyandang yang terus dikekalkan bersama barisan muka baharu serta gabungan pelbagai latar belakang.

Datuk Abd. Halim Jusoh bekas ADUN Permaisuri dicalonkan semula bagi kerusi itu manakala Datuk Mohamed Awang Tera di DUN Cukai; Datuk Rosol Wahid (bekas ADUN Ajil) bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu di samping Datuk Din Adam (bekas ADUN Bukit Besi) bagi kerusi Parlimen Dungun.

Rosol yang pernah menjadi anggota Exco kerajaan negeri menyifatkan pencalonannya dalam PRU-14 memberi cabaran lebih besar berbanding kerusi DUN Ajil yang dimenanginya selama tiga penggal sejak 1999 hingga 2008.

“Semasa tsunami politik pada 1999 apabila Pas mengambil alih pemerintahan sebagai kerajaan, saya antara empat wakil rakyat BN yang menang dan menjadi pembangkang ketika itu.

“Bagaimanapun, rekod selama tiga penggal di kerusi DUN Ajil, pengundi yang berpihak kepada BN semakin baik dan meningkat..dengan jentera parti yang kuat, saya yakin BN akan terus menang di Hulu Terengganu dengan menguasai kesemua kerusi,” katanya ketika ditemui dalam majlis pengumuman calon BN baru-baru ini.

Sementara itu, Abd. Halim berkata, paksi perkhidmatan beliau adalah kepada rakyat dan mengharapkan kerjasama mereka untuk membawa perubahan lebih pesat ke arah meningkatkan ke­sejahteraan hidup.

“Hasrat saya dalam memberi khidmat beliau adalah untuk melihat masyarakat dapat terus meningkatkan taraf hidup dalam suasana harmoni dan boleh melakukan amal ibadat dengan aman,” ujarnya dalam majlis ringkas menyambut kepulangannya selepas diumumkan sebagai calon.

Abd. Halim seterusnya me­ngajak golongan muda agar dapat bersama perjuangannya dalam BN kerana beliau memahami aspirasi mereka, dan banyak yang dapat direncana untuk memenuhi keperluan jika kepercayaan dapat diberikan kepadanya.