Selain mungkin mengingatkan banyak orang tentang sukan atas nama pelancongan itu, pulau dengan lakaran alamnya seakan-akan lidah itu, pada masa silamnya turut ‘bersuara’ tentang tradisi pengembangan ilmu agama di samping ke-tinggian seni pertukangan kapal dan rumah di negeri ini.

Banyak yang boleh dimanfaatkan di pulau warisan itu dengan pendekatan tertentu untuk meme-riahkan suasana dan menarik tumpuan pelancong sepanjang masa, tanpa perlu banyak belanja atau menunggu musim tiba.

Festival Seni Duyung 2015 yang dirintis baru-baru ini mungkin satu pendekatan yang wajar diberi perhatian dengan memanfaatkan prasarana sedia ada, wajah alam dan kegiatan masyarakat nelayannya.

Program anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu, Duyung Art Gallery, persatuan PUNCA dan Terengganu Backpackers, berlangsung selama dua hari di Dataran Medan Selera Jeti Pulau Duyong.

Karnival seni secara santai dengan menyasarkan penglibatan dan tarikan kepada generasi muda berpotensi menjadi tarikan terbaharu jika konsep penampilan imej wari-san dan tradisi ini diperkukuhkan dan tidak digugat dengan pendekatan biasa pasar malam.

Penyelaras acara, Nik Mohd. Hazuwal Nik Lah memberitahu, lebih 30 usahawan seni kreatif berkampung di sini mengadakan pameran, jualan serta persembahan jalanan di sekitar dataran.

Beliau yang juga pemilik Duyung Art memberitahu, ini termasuk mereka dalam bidang seni lukis, seni kraf, pakaian, arca, seni purba, makanan dan seni muzik manakala ferstival dimeriahkan lagi dengan acara sukan rakyat dan beberapa kegiatan lain melibatkan masyarakat setempat.

“Sebahagian besar usahawan ini berkarya dan memasarkan produk di atas deretan jeti, seakan-akan suatu pasar terapung, dalam suasana tiupan angin segar, bot yang lalu-lalang dan pandangan laut lepas serta latar sisi wajah pusat bandar raya.

“Tambah menarik, orang ramai dari pusat bandar raya, boleh merasai pengalaman menaiki bot penambang ulang-alik ke pulau itu hanya dengan bayaran RM1 pada hari tersebut,” ujarnya.

Menurut beliau, festival ini memberi penekanan kepada penglibatan penggiat seni muda tempatan agar dapat diketengahkan bakat dan produk mereka dengan pendekatan yang kreatif dan invatif.

Katanya, berdasarkan sambutan menggalakkan, program ini mungkin diteruskan dalam keadaan lebih terancang dan menarik, sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Program ini juga menyokong penuh objektif 1Malaysia Contemporary Art Tourism (IMCAT) dalam mempromosi bandar raya Kuala Terengganu sebagai pusat kesenian, kebudayaan dan warisan dan juga bersempena Malaysia Year of Festival 2015,” ujar beliau.