Sedang dibangunkan di atas tapak seluas hampir satu hektar di Bukit Pak Sabah di sini, projek tersebut bakal dijayakan dengan kerjasama Sabasun HyperRuncit dengan kos keseluruhan dianggarkan kira-kira  RM12 juta daripada hasil sumbangan derma orang ramai melalui pembelian lot-lot yang ditawarkan.

Apabila beroperasi kelak, ia akan menampung pasaran muslim, iaitu sebahagian daripada usaha memenuhi Konsep Sejahtera Bersama Islam manakala hasil keuntungan melalui sewaan dijangka membeli pulangan kira-kira RM60,000 sebulan yang akan dikembang dengan menambah aset baharu.

Pelancaran pembinaan projek yang dijangka siap pada September 2020 itu disempurnakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang petang semalam. 

Yang turut hadir, Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Pas Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali; Pengerusi Jawatankuasa  Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamat Puteh; Yang Dipertua Pas Kawasan Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli; Pengerusi Pembangunan Pasaraya Wakaf, Mohd Fauzi Jalil dan Pengarah Urusan Sabasun Hyperruncit, Che Salmi Ibrahim.

Menurut Khairuddin, setakat ini Pas berjaya membuat kutipan hampir RM1 juta hasil sumbangan orang awam  dan pihaknya memerlukan RM11 juta lagi bagi melaksanakan projek yang disifatkan dapat memberi manfaat kepada orang ramai terutama lebih 100,000 penduduk setempat.

“Konsep pasar raya ini ialah memberi pulangan pahala kepada para penderma manakala manfaatnya pula ialah bangunan yang dibina ini akan menjadi milik orang ramai yang turut memberi kebaikan kepada umum  kerana hasil daripada pendapatan (keuntungan) digunakan pula  untuk program-program berbentuk kebajikan dan dakwah.

“Selain itu, projek  ini juga memberi ruang kepada orang Islam untuk memiliki rangkaian pasar raya sendiri kelak.  Pas tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi melaksanakannya . Sumber modal adalah daripada sumbangan derma orang awam dan ahli-ahli parti, “ ujarnya.

Khairuddin memberitahu, projek dilaksanakan dalam dua fasa di mana fasa pertama mengumpul sumbangan wakaf tunai untuk membeli tanah yang bernilai RM3 juta manakala fasa kedua ialah mengumpulkan sumbangan bagi pembinaan bangunan bernilai RM9 juta.

“Wakaf ini sangat besar nilainya di mana Pas akan mempunyai aset yang akan terus berkembang setiap tahun. Dari segi harga jualan barangannya pula, ia bergantung kepada suasana dan keadaan semasa”, ujarnya.-UTUSAN ONLINE