Bakal dibangunkan di atas tapak seluas hampir satu hektar di Bukit Pak Sabah di sini, projek dijayakan dengan kerjasama Sabasun HyperRuncit dengan kos keseluruhan kira-kira RM12 juta hasil sumbangan derma orang ramai melalui pembelian lot-lot yang ditawarkan.

Apabila beroperasi kelak, ia akan menampung pasaran Muslim, iaitu sebahagian daripada usaha memenuhi Konsep Sejahtera Bersama Islam manakala hasil keuntungan melalui sewaan dijangka membeli pulangan kira-kira RM60,000 se­bulan yang akan dikembang de­ngan menambah aset baharu.

Pelancaran pembinaan projek yang dijangka siap pada September 2020 itu disempurnakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Pas Datuk Khairuddin Aman Razali; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamat Puteh; Yang Dipertua Pas Kawasan Dungun, Wan Hassan Mohd. Ramli; Pengerusi Pembangunan Pasaraya Wakaf, Mohd. Fauzi Jalil dan Pengarah Urusan Sabasun HyperRuncit, Che Salmi Ibrahim.

Menurut Khairuddin, setakat ini, Pas berjaya membuat kutipan hampir RM1 juta hasil sumba­ngan orang awam dan pihaknya memerlukan RM11 juta lagi untuk melaksanakan projek yang disifatkan dapat memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya lebih 100,000 penduduk setempat.

“Konsep pasar raya ini adalah memberi pulangan pahala kepada para penderma manakala manfaatnya pula ialah bangunan yang dibina ini akan menjadi milik orang ramai yang turut memberi kebaikan kepada umum kerana hasil daripada pendapatan (keuntungan) digunakan pula untuk program-program berbentuk kebajikan dan dakwah.

“Selain itu, projek ini juga memberi ruang kepada umat Islam untuk memiliki rangkaian pasar raya sendiri kelak. Pas tidak menge­luarkan sebarang per­belanjaan bagi melaksanakannya. Sumber modal adalah daripada sumba­ngan derma orang awam dan ahli-ahli parti,” ujarnya.

Beliau memberitahu, projek dilaksanakan dalam dua fasa di mana fasa pertama mengumpul sumbangan wakaf tunai untuk membeli tanah yang bernilai RM3 juta manakala fasa kedua adalah mengumpulkan sumbangan bagi pembinaan bangunan bernilai RM­9 juta.

“Wakaf ini sangat besar nilai­nya di mana Pas akan mempunyai aset yang akan terus berkembang setiap tahun. Dari segi harga jualan barangannya kelak, ia bergantung kepada suasana dan keadaan semasa,” ujarnya.