Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail berkata, walaupun sudah lebih setahun mengambil alih pentadbiran negeri, namun isu mengenai kawasan rizab Melayu seolah-olah tidak diberi perhatian oleh Pas berikutan tiada sebarang pembelaan termasuk usaha menyelesaikan enakmen berkaitan tanah tersebut yang dilaporkan telah dipinda UMNO beberapa tahun lalu.

Beliau bimbang jika tidak diatasi segera, Terengganu bakal kehilangan tanah rizab Melayu berikutan pelanggaran undang-undang yang didakwa dilakukan UMNO di samping faktor pengambilan tanah bagi memberi laluan kepada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Soalnya, Pas sebelum menguasai kerajaan negeri telah berikrar untuk segera menyelesaikan isu ini di samping membatalkan enakmen tanah yang diluluskan UMNO yang membolehkan (UMNO Terengganu) mengambil alih tanah rizab Melayu.

"Sekiranya perkara ini berterusan, kita lihat ada dua penyimpangan yang sangat jelas iaitu kedudukan semasa yang tidak dibaiki di samping kemungkinan lebih banyak tanah rizab Melayu yang bakal diambil atau telah dikenal pasti untuk diambil tanpa diganti dan inilah yang meresahkan rakyat Terengganu ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Makan Pagi bersama Media Terengganu di Bangunan PKR Terengganu di sini hari ini.

Kawasan yang diwartakan sebagai kawasan rizab Melayu di negeri ini sejak 1964 pada asalnya hanya di bandar Kuala Berang dan sekitar mukim Tanggol, Hulu Terengganu dengan keluasan cuma 100.36 hektar.

Bagaimanapun, selepas pembatalan dibuat pada 2004 ekoran pengambilan tanah bagi pembangunan projek seperti sekolah, balai polis di samping beberapa jabatan dan agensi kerajaan, ia digantikan dengan kawasan seluas 118.21 hektar pada tahun yang sama.

Azan berkata, walaupun kawasan yang diwartakan kini hanya seluas 118.21 hektar, namun di negeri ini terdapat juga tanah pegangan Melayu yang diwujudkan di bawah Enakmen Rizab Melayu Terengganu Bilangan 17 Tahun 1360.

"Jika kedudukan tanah rizab Melayu boleh diancam dengan enakmen yang membenarkan pindahan kepada parti politik sebagaimana dilakukan UMNO maka tidak ada jaminan perlindungan sama ada kepada kawasan rizab Melayu mahupun tanah pegangan Melayu.

"Jadi saya minta kerajaan negeri membuat penjelasan berhubung isu ini termasuk mengemukakan pelan jangka panjang untuk menyelamatkan tanah rizab Melayu di Terengganu," katanya. - UTUSAN ONLINE